Expired : 18.06.18

Maria janji kembali tahun depan

MARIA Sharapova menyatakan dia boleh kembali beraksi di Luxembourg minggu depan selepas kesakitan bahu yang berulang menyaksikannya menarik diri daripada kejohanan dalam dewan WTA di Linz, Austria.


Pemenang lima gelaran Grand Slam itu menarik diri daripada kejohanan di Austria minggu lalu namun menyatakan dia boleh bermain di Luxembourg yang bermula Isnin ini, sekalipun fokus utamanya adalah untuk sihat sepenuhnya bagi musim 2020.


“Saya di landasan yang baik ketika ini,” kata Maria, perlawanan terakhirnya tumpas di tangan Serena Williams pada pusingan pertama Terbuka AS.


“Saya melakukan semua perkara yang betul, tapi saya mungkin memerlukan sedikit masa lagi. Saya mungkin bermain minggu depan. Saya akan menguji keadaan bahu dengan beberapa sesi latihan.


MARIA tewas pada pusingan pertama Terbuka AS. — FOTO Twitter Maria Sharapova



“Saya tidak perlu terburu-buru. Sasaran utama adalah untuk sihat sepenuhnya, kemudian bekerja keras serta bermain banyak kejohanan pada 2020. Saya mahu menyiapkan diri bagi musim 2020 dan sihat.”


Pemain berusia 32 tahun itu terlepas lebih empat bulan aksi susulan pembedahan di bahu kanan. Dia kembali bagi musim gelanggang rumput namun terpaksa menarik diri daripada Wimbledon kerana kecederaan lengan kiri.


Maria menang kejuaraan Grand Slam kali terakhir pada Terbuka Perancis 2014 dan menjalani penggantungan setahun susulan gagal ujian dadah pada Terbuka Australia 2016.


“Bahu bahagian paling lemah di tubuh saya sejak beberapa tahun. Tahun ini ia lebih teruk. Saya tidak bermain bagi hampir sepanjang musim,” katanya.


Norlida Ishak Shop