Expired : 18.06.18

Markah Penanda Aras GPU AMD Untuk Cip Samsung Tertiris – Lebih Berkuasa Berbanding Adreno 650

Jun tahun lalu Samsung dan AMD bersetuju bekerjasama menghasilkan GPU untuk cip mudah alih yang berasaskan teknologi RDNA. Pengumuman yang dilakukan ini mendapat perhatian ramai kerana AMD ialah nama besar dalam dunia GPU dan Samsung mula masih menggunakan GPU Mali pada cip Exynos mereka. Kini markah awal penanda aras GFXBench untuk GPU Samsung-AMD ini didakwa tertiris menerusi laman Clien dan menunjukkan prestasi yang menakjubkan.


Dalam ujian Manhattan 3.1, ia mencatatkan 181.8 bingkai yang lebih tinggi berbanding Adreno 650 (GPU Snapdragon 865) yang mencatatkan 123 bingkai sahaja. Seterusnya ia turut mencatatkan 138.25/58 bingkai dalam ujian Aztec Normal dan High. Sekali lagi sebagai perbandingan Adreno 650 mencatatkan 53/20 bingkai sahaja. Sekiranya markah GFXBench yang tertiris ini adalah benar, cip Exynos Samsung akan akhirnya dapat menadingi kemampuan grafik cip Qualcomm Snapdragon.


GPU rekaan AMD berkemungkinan besar akan digunakan pada cip Exynos 1000 yang berasaskan teknologi 5nm kelak. Dengan Exynos 990 menerima kritikan kerana tidak setanding Snapdragon 865 dan Apple A13 Bionic, Samsung perlu melakukan sesuatu bagi mengembalikan kepercayaan pelanggan ke atas cip buatan mereka sendiri. Antara langkah yang mungkin diambil ialah melancarkan Exynos 992 dengan teknologi 6nm untuk digunakan pada Note 20 kelak.