Expired : 18.06.18

Marquez mahu lunas dendam

JUARA dunia Marc Marquez tampil untuk membalas dendam selepas diatasi dalam dua perlumbaan terakhir musim ini ketika dia mahu menyamai rekod bintang Itali, Valentino Rossi dengan tiga kemenangan pada perlumbaan MotoGP San Marino, Ahad ini.


Kejayaan terbaharu juara MotoGP dunia tujuh kali, Rossi di Misano, dekat Rimini di pantai Adriatic Itali adalah pada 2014.


“Berlumba di sini di depan penyokong saya amat fantastik kerana ia benar-benar Grand Prix saya,” kata Rossi yang berusia 40 tahun.


“Rumah saya hanya 10 kilometer dari litar, saya membesar di Misano dan kali pertama saya berlumba adalah di litar ini.”


Malah Rossi menunggang sejauh 14km dari akademi “Motor Ranch” di Tavullia ke litar minggu ini dengan jentera Yamaha.


“Ia satu impian masa kecil yang menjadi kenyataan kerana ia jalan yang kami gunakan menunggang skuter ketika remaja,” kata Rossi.


ROSSI (kanan) menyatakan sesuatu kepada Rins di litar Misano, semalam. — FOTO EPA



“Tapi saya hanya menunggang dengan kelajuan 170kmj,” katanya menegaskan jalan itu sudah ditutup kepada kenderaan dan “saya memakai topi keledar!”.


Pendahulu keseluruhan kejuaraan Marquez menang lima kali di Misano dan dua kali dalam kategori MotoGP pada 2015 dan 2017.


Pelumba Honda dari Sepanyol itu memiliki kelebihan 78 mata di depan penunggang Itali, Andrea Dovizioso dalam kejuaraan dunia selepas 12 daripada 19 perlumbaan ketika dia semakin menghampiri kejuaraan dunia ketujuh.


Penunggang berusia 26 tahun itu kecewa dalam dua perlumbaan terakhir apabila diatasi di garisan penamat oleh pelumba Suzuki, Alex Rins di Silverstone dan penunggang Ducati, Dovizioso di Austria.


“Kami mendahului dengan baik dalam kejuaraan dunia jadi kami perlu kekal bertenang dan menamatkan perlumbaan,” kata Marquez.


Norlida Ishak Shop