Expired : 18.06.18

Maszlee letak jawatan presiden UIAM


BANGI, , 29 Rabiulakhir 1440H, Ahad – Menteri Pendidikan, Maszlee Malik akhirnya setuju melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketujuh, yang disandangnya sejak September tahun lalu.

Pelantikan beliau sebelum ini, mencetuskan kontroversi dan mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk ada yang menyifatkan langkah itu sama seperti dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Kerajaan Pakatan Harapan menerusi manifesto PRU144 berjanji untuk memulihkan kembali kebebasan akademik di institusi pengajian tinggi.

UIAM sebelum ini berpendapat, Maszlee adalah calon sesuai untuk jawatan itu kerana pernah menjadi pensyarah UIAM selain pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak dan menjamin kebajikan pensyarah.

Sebaliknya, ramai yang berpendapat menteri pendidikan itu tidak sesuai kerana dilihat sebagai ‘lantikan politik’ – menjadikan pemimpin politik sebagai presiden UIAM akan menjadikan universiti itu terikat dengan fahaman kepartian diwakili.

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas isu pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM sebelum ini, menegaskan kerajaan akan mengkaji semula pelantikan itu.

“Kita sensitif terhadap pendapat orang ramai dan kita akan kaji semula pelantikan. Kita bukan nak ukir dengan batu (keputusan pelantikan), kita boleh ubah pendirian kita,” kata Perdana Menteri.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sebelum ini menasihatkan Maszlee melepaskan jawatan itu dengan segera.

Memetik laporan Bernama hari ini, Maszlee mengesahkan beliau tidak lagi memegang jawatan itu yang sepatutnya berakhir pada 2021.

Katanya, beliau sudah menandatangani surat peletakan jawatan itu dan menunggu pengumuman rasmi UIAM, termasuk individu yang akan menggantikannya.

“Perletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan bersama,” katanya di Simpang Renggam, hari ini. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas tarikh sah peletakan jawatannya itu.

Beliau juga enggan mengulas desas-desus bahawa Naib Canselor UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, bakal dilantik presiden UIAM.


The post Maszlee letak jawatan presiden UIAM appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop