Expired : 18.06.18

Mata pengawal warga emas lebam, pinggang ditendang pelawak

Polis Nilai menyiasat kes seorang pelawak menumbuk dan menendang seorang pengawal keselamatan di sebuah taman perumahan. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri
Polis Nilai menyiasat kes seorang pelawak menumbuk dan menendang seorang pengawal keselamatan di sebuah taman perumahan. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri

KUALA LUMPUR, 7 April — Bahagian mata kanan seorang pengawal keselamatan warga emas lebam selepas ditumbuk tiga kali oleh seorang artis di perumahan dekat Nilai, semalam.

Sementara pinggang lelaki 68 tahun itu pula ditendang dan batang hidungnya sakit selepas mereka bertengang urat di Acacia Park Desa Jati pada 8 malam, lapor Berita Harian.


Ketua polis Nilai berkata ia berpunca apabila pengawal menutup laluan dengan palang sewaktu selebriti berusia 49 tahun mahu keluar dari kawasan itu.


“Berkemungkinan kerana berang kenderaannya dihalang, artis lelaki itu keluar dari kereta sebelum menuju ke arah pengawal keselamatan dan berlaku pertengkaran,” kata Supt Mohd Nor Marzukee Besar.


Katanya sebelum itu kereta Proton Perdana hitam milik artis asal Kedah itu dikejar pengawal terbabit kerana memasuki kawasan kediaman tanpa kebenaran.


Ekoran itu berlaku pergeseran termasuk dakwaan artis yang pernah menganggotai satu kumpulan lawak membaling batu batu ke arah pengawal itu tetapi sempat dielak.


“Pengawal dalam laporannya [...] turut mendakwa artis berkenaan meminta dia berjaga-jaga kerana hanya bertugas sebagai pengawal keselamatan dan bukannya polis,” katanya.


Mohd Nor berkata pihaknya sedang menyiasat berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian dan melakui rakaman kamera litar tertutup. Artis itu belum lagi ditahan untuk siasatan.


Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda awam.


Norlida Ishak Shop