Expired : 18.06.18

Mayat nahas Lion Air ditemui tidak sempurna, waris beri profil DNA

Ketua Basarnas Muhamad Syaugi bercakap kepada media di Pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta hari ini. — Foto Reuters
Ketua Basarnas Muhamad Syaugi bercakap kepada media di Pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta hari ini. — Foto Reuters

JAKARTA, 30 Okt — Operasi mengesan bangkai pesawat Lion Air masih berterusan setakat tengah hari ini dengan tumpuan pencarian oleh pasukan penyelam.



Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi berkata sebanyak 35 penyelam kini melakukan pencarian di perairan Tanjung Karawang, lokasi kapal itu terhempas di koordinat  S 5 49.052 E 107 06.628 , selepas pesawat itu berlepas 6.20 pagi semalam dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.


“Kedalaman perairan itu hanya 35 meter, kami mengharapkan dapat segera menemukan bangkai pesawat itu,” katanya.



Operasi pencarian itu turut melibatkan pasukan tentera, polis dan Basarnas yang menggunakan 19 kapal dan tiga helikopter.


Menurut laporan media Indonesia, permukaan berlumpur di perairan itu menyukarkan proses pencarian bangkai pesawat berkenaan.


Sementara itu Ketua Pusat Kedokteran Kesehatan Polis Indonesia (Polri) Brig Jen Dr Arthur Tamp menjelaskan mayat penumpang yang ditemui setakat ini semuanya dalam keadaan tidak sempurna.


“Bukannya 24 jenazah, mungkin lebih dari itu, yang dihantar ke hospital adalah 24 kantung (bungkusan) jenazah (berisi anggota-anggota badan). Jenazah yang ditemui tidak sempurna,” katanya.


Beliau berkata pihak berkuasa setakat ini telah mendapatkan 80 profil asid deoksiribonukleik (DNA) daripada anggota keluarga penumpang.


“Setakat 1 tengah hari ini belum dapat diidentifikasikan lagi jenazah terbabit, kami akan lakukan secepat mungkin, jenazah akan diserahkan kepada keluarga mangsa selepas dikenal pasti menerusi ujian DNA ini,” katanya. — Bernama


Norlida Ishak Shop