Expired : 18.06.18

MB Johor: ‘Saya yang menjalankan amanah’ beri peringatan pada penjawat awam

Frasa 'Saya yang menjalankan amanah' dilihat memberi peringatan kepada penjawat awam supaya kembali kepada tanggungjawab yang diamanahkan, kata Datuk Osman Sapian. — Foto oleh Roysten Rueben
Frasa 'Saya yang menjalankan amanah' dilihat memberi peringatan kepada penjawat awam supaya kembali kepada tanggungjawab yang diamanahkan, kata Datuk Osman Sapian. — Foto oleh Roysten Rueben

JOHOR BAHRU, 7 Feb — Frasa “Saya yang menjalankan amanah” dilihat memberi peringatan kepada penjawat awam supaya kembali kepada tanggungjawab yang diamanahkan, selain terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata pertukaran kepada frasa itu daripada yang sebelumnya, turut bermakna peranan dan tugas pegawai tadbir negeri kini telah berubah.


“Bukan lagi hanya sekadar menjalankan tugas dan menurut perintah semata-mata tanpa usul periksa atau sekadar menjadi pegawai ‘Yes Man’ tetapi perlu bijak memainkan peranan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.


“Selain itu, pegawai tadbir negeri perlulah mampu berfikir, bertindak secara profesional dan memberikan pandangan bila diperlukan demi kepentingan rakyat dan negeri. Apa yang penting, pandangan yang diberi hendaklah ikhlas dan dibuat demi kepentingan negeri dan rakyat,” kata beliau.


Osman berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Peningkatan Kerjaya Pegawai Tadbir Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.


Menteri Besar itu berkata pegawai tadbir negeri merupakan barisan hadapan kepada kerajaan negeri, justeru itu mereka diseru agar melaksanakan tugas mengikut amanah yang diberikan dengan sejujurnya.


“Jika sifat amanah itu berterusan, ia merupakan satu perkara yang amat baik untuk negara dan untuk kita wariskan kepada generasi akan datang.


“Pertukaran frasa tersebut sudah tentu akan memberi kesedaran dan membangkitkan kesetiaan penjawat awam betapa pentingnya integriti dan bekerja penuh bersemangat kerana masa depan kemajuan negara sebenarnya bergantung kepada kejujuran penjawat awam,” tambah beliau.


Selain itu, pegawai tadbir negeri merupakan teraju utama dalam negeri yang bertanggungjawab melaksanakan segala dasar dan program yang diputuskan oleh kerajaan untuk manfaat rakyat.


“Oleh yang demikian, anda semua mesti kuat dan hebat agar segala hasrat dan cita-cita kerajaan tercapai sebagaimana yang disasarkan.


“Sukacita saya ingatkan kepada semua bahawa integriti adalah perkara serius, kerana tanpanya, kepercayaan serta keyakinan rakyat sebagai pelanggan akan hilang, sekaligus menjejaskan reputasi kerajaan,” katanya lagi.


Program peningkatan kerjaya yang bermula hari ini sehingga 10 Feb itu, turut melibatkan penyertaan seramai 600 orang pegawai tadbir dari empat negeri tersebut. — Bernama


Norlida Ishak Shop