Expired : 18.06.18

MCA Sedia Kerjasama Dengan Pas Demi Kepentingan Negara

KUALA LUMPUR 7 Feb – MCA sedia bekerjasama dengan Pas dalam isu-isu membabitkan kepentingan negara dan berhenti daripada memainkan soal perkauman yang memecahbelahkan rakyat.



Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, partinya akan meyakinkan UMNO dan Pas agar sama-sama memberi tumpuan kepada hal kepentingan negara serta rakyat dan bukan mengeksploitasikan perbezaan kaum atau agama.


Beliau mahu mengelakkan MCA daripada berperangai seperti DAP terutama Penasihatnya, Lim Kit Siang yang hanya bertindak atas kepentingan politik DAP.


“MCA akan terus membina hubungan kaum, dan malah bekerja dengan Pas mengenai isu-isu bersama demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Lian Ker turut menjelaskan bagaimana sikap yang dimainkan oleh DAP yang mendorong kepada perpecahan dan sehingga menyebabkan keharmonian kaum di negara ini berada pada tahap paling rendah sejak Kemerdekaan.


“DAP sebelum ini berjaya membuatkan masyarakat Cina menentang MCA disebabkan isu Ketuanan Melayu yang kononnya digalakan oleh UMNO dan diterima oleh MCA,” katanya.


Tambah Lian Ker, DAP sendiri sebelum ini pernah bekerjasama dengan Pas dan didakwa menganjurkan politik yang menyemai rasa syak wasangka, rasa tidak percaya dan kebencian dalam kalangan semua kaum dan agama sekali gus memusnahkan sosial negara yang bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sejak Kemerdekaan. – UtusanOnline


 



Norlida Ishak Shop