Expired : 18.06.18

Mengenang Kembali VHS – Medium Penyimpanan Video Sebelum Wujudnya Cakera Digital

Sebut sahaja mengenai VHS, ia terus mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak. Saya masih ingat pada tahun 1997, bapa saya pulang ke rumah dengan membawa pita VHS ‘The Flintstones’ untuk ditonton bersama keluarga. Pita VHS ini hadir dalam bentuk segi empat tepat, yang mana turut dilabelkan dengan tajuk filem ini pada bahagian sisi pita. Filem ini juga masih segar diingatan saya, kerana ia mengisahkan kehidupan di zaman batu dengan penyertaan teknologi seumpama di zaman moden.


Pita VHS ini dimainkan pada sebuah alat yang dinamakan sebagai Video Cassette Recording atau lebih dikenali sebagai VCR. Alat VCR ini sering digunakan oleh keluarga saya kerana ia mudah untuk merakam rancangan kegemaran di televisyen. Ketika itu, rancangan seperti siri sitkom Senario dan Mr. Bean adalah rancangan sangat diminati oleh keluarga saya. Sebelum adanya kemudahan rakaman PVR pada Astro B.yond, inilah alat yang perlu ada bagi membolehkan kami menonton kembali rancangan tersebut pada lain hari.



Walaupun pada tahun tersebut teknologi cakera digital sudah pun ada, namun di Malaysia, medium berasaskan VHS ini masih meluas digunakan. Ia banyak digunakan kerana pemain VCR mampu merakam rancangan dengan mudah. Pita VHS baru juga masih banyak terjual pada waktu itu, selain memudahkan kami menyewa pita VHS ini daripada kedai. Kami juga boleh bertukar pita VHS ini daripada jiran tetangga, apabila sesuatu rancangan menarik telah habis ditonton dengan jayanya.


Namun pada awal 2000, kami sekeluarga telah pun beralih kepada sistem VCD di atas popularitinya. Pita VHS yang tersimpan kemudiannya telah dijadikan mainan kepada kanak-kanak – terutama pada bahagian tali pitanya. Ia ditarik keluar daripada pita ini, sehinggalah bahagian tali pita ini habis. Kotaknya pula diambil oleh adik-adik yang bersekolah untuk dijadikan sebagai tempat penyimpanan alat-alat tulis. Walaupun pita ini tidak lagi digunakan, ia tetap diingati kerana ia menyimpan pelbagai kenangan menarik apabila ia dikenang kembali.


Era permulaan


Sejarah VHS bermula awal 1970-an, ketika pihak JVC mahukan sebuah alat yang berpatutan untuk merakam dan memainkan video pada televisyen. Sejak tahun 1950, rakaman video berasaskan pita magnetik kerap digunakan dalam industri televisyen, terutama selaepas pengenalan Video Tape Recorder atau VTR. Ketika waktu itu, VTR atau Video Tape Recorder dijual pada harga yang sangat mahal – membuatkan format ini hanya digunakan pada industri profesional (seperti televisyen) atau pengimejan perubatan (seperti fluoroskopi).


Pada tahun 1969, JVC telah berkolaborasi dengan Sony Corporation dan Matsushita Electric dalam membina sebuah standard untuk rakaman video. Hasil daripada kolaborasi ini telah membuatkan mereka berjaya membina format baru yang dikenali sebagai U-matic. Format ini dilihat berjaya untuk bidang penyiaran, namun masih tidak sesuai untuk kegunaan di rumah kerana kos dan masa rakamannya yang singkat.



Selepas daripada itu, Sony dan Matsushita telah berpecah daripada kolaborasi ini, dan seterusnya, menghasilkan format rakaman video baru secara sendiri. Sony telah menghasilkan format Betamax, sementara Matsushita telah mula menghasilkan format yang dikenali sebagai VX. Pada 9 September 1976, JVC akhirnya telah melancarkan pemain VCR pertama untuk menjalankan pita VHS ini – melalui model Victor HR-3300.


Sebenarnya pada sekitar 1970-an dan 1980-an, VHS mempunyai persaingan yang sengit kepada format Betamax. Format ini menawarkan rekaan saiz pita yang lebih kecil, mempunyai kualiti yang lebih tinggi, dan ditawarkan pada lebih awal. Namun jangka masa rakamannya adalah lebih pendek, sekaligus memberi kelebihan kepada format VHS.



Pita VHS juga dikatakan mempunyai mekanisme pita yang kurang kompleks, bagi memudahkan proses pembuatan dan baik-pulih. Disebabkan rekaan yang digunakan kurang kompleks, pita VHS ini mampu beroperasi dengan lebih pantas, terutama ketika ingin menuju ke belakang (rewind) atau ke hadapan (fast-forward).


Ia berbeza dengan sistem Betamax oleh Sony, yang mana ia lebih kompleks dan lebih perlahan dalam proses pembacaan pita. Disebabkan perkara ini, VHS lebih digunakan secara meluas – sehingga ia berjaya mendominasi sekitar 60% pasaran di Amerika Utara, terutama pada tahun 1980. Ia sangat popular digunakan untuk kegunaan di rumah dan industri profesional seperti pendidikan, perubatan, dan hiburan.


Komponen


Sistem VHS mempunyai dua komponen penting, iaitu pita VHS ini sendiri dan pemain VHS seperti alat VCR.


Seperti yang disebutkan pada awal artikel, pita ini mempunyai rekaan segi empat tepat, yang mana ia dibina berasaskan binaan plastik. Ia selalunyai mempunyai kelebaran 187mm, ketinggian 103mm, dan hadir dengan ketebalan 25mm apabila dilihat secara melintang. Di bahagian bawahnya, ia menempatkan sistem ‘M-lacing’, iaitu bahagian pengeluaran tali pita yang boleh ditarik keluar ketika ia digunakan pada VCR.



Pita VHS mempunyai pelbagai jenis masa durasi, mengikut kepanjangan tali pita di dalam sesebuah pita VHS. Durasi video yang boleh dirakam juga ditentukan mengikut kelajuan, seperti “standard play” (SP) dan “long play” (LP).


Kelajuan SP menawarkan kelajuan, durasi, dan kualiti seperti biasa, sementara LP dapat memanjangkan lagi rakaman sesebuah video. Namun LP menggunakan kelajuan yang lebih perlahan, sekaligus memberi kualiti rakaman yang lebih rendah berbanding SP.


Seperti contoh, pita dengan label E-90, ia boleh memainkan video berdurasi 1 jam 33 minit mengikut kelajuan SP, atau 3 jam 6 minit mengikut kelajuan LP. Sekiranya anda menggunakan pita dengan label E-300, ia mampu merakam video selama 5 jam 10 minit untuk SP, dan 10 jam 20 minit ketika LP.



Untuk memainkan VHS, pengguna di rumah selalunya lebih selesa untuk memiliki sebuah Video Cassette Recording (VCR). Dengan adanya VCR, pengguna dapat membuat rakaman secara mudah, terutama merakam rancangan TV yang ingin ditonton di kemudian masa.


Selain daripada VCR, ada sesetengah pengguna juga mempunyai kamera video berasaskan VHS. Ia hadir dalam bentuk yang besar – seumpama kamera yang digunakan pada industri televisyen hari ini. Kamera yang mempunyai pita VHS ini dapat memudahkan pengguna melihat rakaman secara terus, dengan hanya memasukkan pita rakaman ini ke pemain VHS.


Faktor kejatuhan


Punca utama kejatuhan VHS adalah disebabkan oleh kenaikan populariti cakera digital dan medium penyimpanan digital.


Antara medium terawal yang mengurangkan populariti VHS ini ialah Video CD atau lebih dikenali sebagai VCD. Ia mula diperkenalkan pada tahun 1993, dengan menjadikannya sebagai medium penyimpanan alternatif untuk video, di dalam bentuk sebuah cakera padat. Data yang berada di dalam VCD disimpan secara digital – membuatkan kualitinya tidak berkurangan seperti kaedah analog pada pita VHS.


Pada 1 November 1996, DVD pula diperkenalkan dalam memberi kualiti video yang lebih baik. Penggunaan DVD mempunyai saiz storan yang lebih besar – iaitu 4.7GB – bagi membolehkan filem berdurasi panjang dimasukkan. Dengan peningkatan teknologi, cakera DVD juga telah mempunyai variasi 8.5GB (single-sided, double-layer), 9.4GB (double-sided, single-layer), dan 17.08GB (double-sided, double-layer).



Pada tahun 2006, Blu-Ray telah diperkenalkan kepada pengguna dengan penawaran video yang lebih berkualiti tinggi. Standard cakera ini membolehkan pengguna menyimpan sejumlah video berdurasi panjang melalui resolusi 720p, 1080p, atau setinggi 4K. Ia mempunyai sejumlah pilihan kapasiti, seperti 25GB (single-layer), 50GB (dual-layer), dan 100/200/300GB pada cakera BDXL. Pada hari ini, cakera Blu-Ray telah digunakan secara meluas pada industri permainan dan hiburan untuk kandungan berdefinisi tinggi.


Kejayaan ketiga-tiga cakera padat ini turut didorong daripada saiznya yang lebih kecil, sekaligus memudahkan proses penyimpanan berbanding pita VHS. Penggunaan cakera padat juga dapat memberi ketahanan yang lebih lama, terutama apabila ia dipegang dan disimpan dengan kaedah yang sebetulnya.



Namun dengan penggunaan internet yang lebih meluas, penggunaan cakera padat boleh dikatakan sudah berkurangan pada hari ini. Pengguna lebih selesa menggunakan perkhidmatan penstriman video, yang mana ia boleh dilanggan secara mudah. Pemain media berasaskan Android juga sudah banyak digunakan pada hari ini, yang mana boleh dihubungkan ke cakera keras luaran untuk memainkan kandungan multimedia yang telah dimuat-turun.


VHS pada waktu kini


Tidak seperti piring hitam, VHS antara medium yang tidak lagi digunakan kerana ia kurang mempunyai keistimewaan. Piring hitam masih mempunyai nilai dan keistimewaannya yang tersendiri, membuatkannya masih digunakan oleh sejumlah pengguna pada hari ini. Bagi penggemar muzik, piring hitam masih dapati memberi kualiti bunyi yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila ia dihubungkan ke sistem audio yang berkualiti. Ia juga mempunyai bunyi estetik seperti bunyi “pop”, yang mana memberi nilai tambah ketika memainkan muzik lama daripada piring hitam ini.


Pada saat ini, pita VHS baru tidak lagi dihasilkan – termasuklah peralatan dan pemain VHS yang sudah ditamatkan pada tahun 2008. Medium berasaskan cakera padat seperti VCD, DVD, dan Blu-Ray telah menambahbaik kekurangan VHS dengan jayanya, terutama dari segi kualiti video dan saiz fizikal cakera. Namun dengan kemudahan internet, pengguna sekali lagi telah dimudahkan untuk menonton sejumlah rancangan menarik, seperti di Netflix, iFlix, Youtube, dan pelbagai perkhidmatan lain lagi.



Walaupun VHS tidak lagi menerima tempat di masyarakat kita pada hari ini, ia adalah teknologi yang penting dalam merevolusikan penggunaan video di rumah. Ia telah memudahkan pengguna menonton video seperti drama dan filem, tanpa perlu lagi bergantung kepada rancangan yang disiarkan melalui televisyen. Teknologi ini telah memungkinkan kehadiran standard baru selepasnya – seperti cakera padat dan perkhidmatan penstriman di internet – dalam memudahkan pengguna mendapatkan kandungan video untuk ditonton pada kaca skrin.


Norlida Ishak Shop