Expired : 18.06.18

Menggigil lihat anak terbaring

“SAYA dah larang dia keluar dan tak sedap hati disebabkan ketika itu angin kuat tetapi arwah kata dia keluar sekejap saja sebab nak beli barangan untuk sambutan Aidiladha, esok,” kata Antilah Mat Isa, 55.


Antilah adalah ibu kepada Marziah Che Omar, 27, yang maut dalam kemalangan di Batu 13, berhadapan Masjid Siti Fatimah, dekat Jitra, malam tadi.


Mangsa yang menunggang motosikal dilaporkan terjatuh ketika mengelak zink yang berterbangan akibat ribut sebelum dirempuh sebuah kereta.


Menurut Antilah, kali terakhir dia melihat wajah anaknya ketika anaknya keluar pada jam 8.15 malam sebelum dia dimaklumkan jiran mengenai anaknya itu


“Saya tanya jiran keadaan anak saya tetapi jiran suruh saya pergi sendiri ke tempat kejadian untuk melihat keadaan Marziah.


“Saya dan suami, Che Omar Hamid, 60, bergegas ke lokasi berasa dan tak sedap hati apabila ternampak kesesakan lalu lintas meskipun jarak rumahnya tidak begitu jauh dengan lokasi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bersatu, dekat Jitra, hari ini.


Menurutnya, sebaik sampai di tempat kejadian, dia ternampak individu terbaring bertutup dengan payung.


“Saya menggigil dan tergamam sebaik mengetahui individu itu adalah anak saya.


“Saya reda dengan apa yang berlaku meskipun kehilangan seorang anak yang baik.


“Sepatutnya tahun depan dia akan berkahwin dengan tunangnya yang juga anggota tentera tetapi tak kesampaian apabila dia pergi buat selama-lamanya,” katanya.


Jenazah Marziah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belukar, 2.30 pagi tadi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan mendapati mangsa dari arah Batu 13 menghala ke Bulatan Jitra.


“Sebaik tiba di lokasi, berlaku angin kuat sehingga menerbangkan sekeping zink besi dan terkena mangsa menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan sebelum dirempuh sebuah kereta


Berita berkaitan


Wanita maut digilis ketika ribut


Norlida Ishak Shop