Expired : 18.06.18

Mengintegrasikan Agama dan Sains Dalam Kurikulum Pendidikan

KUALA LUMPUR 12 Feb. -Pengasingan antara sains dan agama dalam kurikulum yang berpunca daripada sekularisme adalah bercanggah dengan prinsip Islam yang menyeru kepada penyatuan ilmu naqli dan aqli.


Bagi menggerakkan semula usaha pengintegrasian semula kedua – dua disiplin tersebut, IKIM telah menganjurkan perbincangan meja bulat bertemakan ‘mengintegrasikan agama dan sains dalam kurikulum pendidikan’ dengan melibatkan tokoh – tokoh akademik dan aktivis pendidikan tanah air.


Bermatlamatkan pemetaan usaha – usaha integrasi agama dan sains dalam pendidikan Malaysia, mengenal pasti modul pengintegrasian, dan perbincangan penyemaian nilai ke dalam pengajaran sains, perbincangan tersebut mengetengahkan perkongsian pengalaman tenaga pendidik serta perbincangan falsafah sains dan Islam.


Beberapa orang tenaga pendidik yang berpengalaman dalam agenda pengintegrasian sains dan Islam telah membentangkan kertas dan dapatan mereka.



“Setiap Muslim yang lahir perlu menjadi ahli sains”


Antara modul yang telah diguna pakai dalam rangka menyelarikan sains dan Islam adalah modul Bio Dai’e dan Fthink, yang diaplikasikan antara lain di MRSM Ulul Albab.


Hal ini selaras dengan aspirasi dan agenda MRSM untuk menyemai nilai tauhidik dalam silibus pendidikan, menurut Encik Zulkifli Awang.



Bio Da’ie yang bermatlamatkan penerapan nilai – nilai tauhidik berasaskan fakta – fakta biologi yang terdapat dalam al Quran dan hadis sudah bermula sejak tahun 2010 lagi.


Pelbagai bahan bantu telah disediakan untuk merealisasikan modul tersebut, teramsuk video P&P, pembentangan dan penghasilan 500 slide Powerpoint, buku, artikel dan siaran mingguan di radio IKIM.


Encik Zulkifli juga menegaskan bahawa al Quran bukan mengajar sains, tetapi fakta sains dalam al Quran membuktikan kewujudan Tuhan dan kebenaran al Quran yang dibawa Nabi Muhammad SAW.



“Integrasi antara agama dan sains sudah pun dibincangkan lama oleh umat Islam sejak zaman Andalusia, tetapi kini ia sudah hilang selama berkurun – kurun’ ujar beliau.


Menurut beliau juga, sepatutnya semua orang Islam yang lahir di dunia perlu menjadi ahli sains, seiring dengan ayat ke 20 Surah al Ankabut yang menyeru manusia supaya mengembara dan memerhatikan bagaimana Allah memulakan penciptaan.


Bagaimanapun Encik Zulkifli juga menyeru supaya pelajar sentiasa merujuk guru yang murshid supaya tidak terjerumus dalam fahaman Mu’tazilah, Qadariah dan liberalisme.


Mengintegrasikan Elemen Sains Kesihatan dengan Pendidikan Islami


Ustaz Mohd Syukor, calon doktor falsafah dari Universiti Malaya yang juga merupakan bekas guru pendidikan Islam menyarankan agar model pembelajaran kontekstual diguna pakai dan dikembangkan.



“Model pembelajaran kontekstual bermaksud perhubungan antara pembelajaran dalam kelas dengan kehidupan” jelas beliau.


“Pengintegrasian Sains Kesihatan dalam Pendidikan Islam (PSKPI) mampu untuk membangkitkan minat belajar pelajar dengan cara menghubung kait tajuk pembelajaran dengan isu kesihatan”


Beliau juga mengetengahkan contoh bahawa arak sebagai racun sewajarnya ditolak oleh semua pihak tanpa mengira agama.


Begitu juga, dalam isu babi, fakta bahawa haiwan tersebut memakan tinja jarang dinyatakan oleh mana – mana pihak.


“Hal ini jelas menampakkan bias media Inggeris yang tidak pernah memperkatakan hal ini” ujar Ustaz Syukor.


Di samping itu, beliau turut mendedahkan bahawa terdapat banyak kisah tentang saintis yang dikatakan peluk Islam kerana dapatan sains sebagai tidak berasas.


Apabila membuat kajian, didapati bahawa saintis yang masuk Islam kerana kajian saintifik ternyata memiliki salji palsu.


“Dahulu pernah disebut mengenai Professor Brown yang membuat kajian dan mendapati bahawa pokok sebenarnya bertasbih. Apabila diteliti saya tidak mendapat sumbernya”


Islamisasi sebagai Solusi Pengasingan ‘Perubatan Islam’ dan ‘Perubatan Moden’


Dr Mohammad Arif Shahar mengatakan bahawa pengasingan ataupun dikotomi antara ‘perubatan Islam’ dan ‘Perubatan Moden’ merupakan masalah yang serius pada masa ini.



Kesan daripada pengasingan ini telah menyebabkan pertambahan kes Difteria dan demam campak sebanyak hampir 900% kerana keengganan menerima suntikan vaksin lantaran bantahan sesetengah pihak terhadap ‘perubatan moden’.


Hal ini hakikatnya bercanggah dengan seruan Islam yang menyeru kepada pencegahan penyakit seperti yang ditunjuk ajar oleh Rasulullah.


“Ubat adalah ubat. Tiada ‘ubat moden’ , tiada ‘ubat Islam’. Tiada manfaat mengkategorikan perubatan Islam dengan perubatan moden” ujar Dr Arif.



Beliau mengusulkan strategi Islamisasi sebagai solusi jurang antara ‘perubatan moden’ dan ‘perubatan Islam’.


“Islamisasi adalah apabila kita menerima sesuatu apabila ia selari dengan Islam; menolak apabila ia bercanggah, dan merubahnya pada tempat yang sesuai, bertepatan dengan prinsip Islam”


Menurut Doktor Arif, orang pertama yang melakukan Islamisasi perubatan ialah Nabi Muhammad SAW menurut rujukan hadis.


“Selagi mana perbuatan dijalankan seiring dengan tuntutan Islam, maka ia adalah perubatan Islam”, jelas beliau.


Antara cabaran utama untuk mengetengahkan pendekatan Islamisasi perubatan ini adalah jumlah penerbitan akademik yang berkaitan yang sangat sedikit.


“Dari tahun 2000 ke 2016, hanya 3.8% penerbitan oleh fakulti perubatan adalah berkaitan Islamisasi. Majoriti penerbitan adalah berkenaan sains perubatan ‘asli’. Daripada jumlah 3.8% itu pula, majoriti penerbitan berkaitan Islamisasi adalah daripada bahagian Ortopedik berkaitan taharah”


Beliau menyeru agar kerja – kerja Islamisasi dikategorikan, diklasifikan dalam bentuk piawai, agar boleh digunakan oleh semua Universiti dengan maksud yang selari.


Bidang Islamisasi tersebut pula diusulkan agar diklasifikasikan dalam bentuk piawai merangkumi asas – asas Islam berkaitan fiqh perubatan, perubatan pesakit Muslim, Input Islami dalam pengamalan perubatan, Ruqyah dan Tibb Nabawi perubatan kontemporari, dan sejarah perubatan.


“Modul Islamisasi Jangan Terlalu Eksklusif Hingga Tidak Sampai Pada Guru – guru yang Memerlukan”


“Sebagai seorang guru sains, kami tak menjumpai modul yang mengintegrasikan sains dan Islam, kerana terlalu ekslusif”, demikian luahan Cikgu Zainun Mustafa mengenai topik pengintegrasian sains dan Islam.



“Pelajar sekolah sekarang mengalami masalah kekosongan jiwa, krisis aqidah dan akhlak, walaupun mereka dianggap pelajar – pelajar sains harapan”.


Cikgu Zainun menjelaskan bahawa mereka tidak dapat mengguna pakai modul sains Islam yang dikaji dengan begitu mendalam oleh institusi pengajian tinggi walaupun hakikatnya mereka sangat memerlukan.


Hal ini bertambah parah apabila di sekolah – sekolah, guru sains dan guru agama diasingkan sehingga tidak bertegur sapa.


Menurut beliau, cikgu – cikgu sains cuba untuk menerapkan nilai Islam termasuk menerangkan fenomena sains berdasarkan ayat al Quran dan hadis, namun mereka khuatir salah kerana tiada latihan agama.


“Menurut kajian, pelajar sebenarnya boleh aplikasikan sains, namun tasawwur mereka rendah kerana kerana diajar oleh cikgu – cikgu bio dan hanya memperoleh sedikit sahaja sentuhan daripada guru agama” ujar beliau.


Beliau juga mengkritik penghasilan modul – modul sains Islam yang hanya dijalankan dalam kalangan sekolah – sekolah agama swasta.


“Kami hanya mengguna pakai apa yang kami jumpa di Internet, sehingga kami khuatir salah kerana tidak bersumber”


Perlu Kembali kepada Disiplin Falsafah Sains Muslim di Zaman Kegemilangan


“Muslim sekarang tidak kembali kepada tradisi mereka sedangkan Barat sentiasa merujuk kepada sumber tradisi mereka seperti Aristotle” kata Dr Amran Muhammad dari  Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI).



Tegas beliau, kita perlu membentuk minda bertanya dalam masyarakat yang telah diformulasikan dengan cukup terperinci oleh Ibn Sina.


Melalui pembentangan beliau bertajuk ‘Logik persoalan dalam perbahasan saintifik; pengajaran daripada tradisi saintifik Islam’, beliau menjelaskan bahawa logik persoalan (logic of questions)  yang dibangunkan sarjana Islam terdahulu menjadi batu asas tradisi saintifik.



Dalam logik persoalan, terdapat tiga tahapan iaitu tasawwur (apakah ia), Tasdiq (adakah, benarkah) dan Istidlal (mengapa).


Beliau mengkritik masyarakat yang amat kurang bertanya kerana tanpa pertanyaan, tiadalah ilmu.


“Sebelum kita boleh menghidupkan semula apa pun, kita perlu terlebih dahulu memiliki tradisi”


Bagi beliau, cara terbaik untuk menghidupkan semula tradisi sains adalah dengan terlebih dahulu merombak dan menyahuraikan model falsafah yang kita gunakan sekarang.



“Dalam dunia Muslim, tiada orang yang bercakap tentang falsafah sains, tetapi mereka cuma bercakap tentang isinya. Ini berbeza dengan zaman dahulu apabila kita mengembangkan aksiom dan postulasi menggunakan ilmu mantiq” jelas Dr Amran.


Beliau juga menyeru agar pengasingan / dikotomi agama dengan akademik selama ini dipecahkan, dan supaya disiplin ilmu mantiq Ibn Sina dan al Ghazali diperkasakan.


325total visits,327visits today


Norlida Ishak Shop