Expired : 18.06.18

Menteri cadang kempen jualan rumah kepada pembeli China, Hong Kong

KERAJAAN bercadang untuk mengadakan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang diadakan khas untuk pembeli di China dan Hong Kong.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kempen itu sangat tepat pada masanya dengan tumpuan khusus bagi penjualan rumah mewah yang kini bernilai ratusan bilion ringgit.


“Saya memikirkan unit yang belum dijual di pasaran mewah, kini bernilai RM100 bilion.


“Jadi, saya fikir kita mahu menganjurkan kempen HOC di China atau Hong Kong, di mana kita boleh menarik orang-orang ini untuk melabur di sini dan membeli rumah,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Tahunan Bandar Pintar Asia ke-5 hari ini.


Zuraida berkata, rumah di Malaysia jauh lebih murah daripada Hong Kong, contohnya rumah berkeluasan 250 kaki persegi di Hong Kong bernilai RM3 juta.


Katanya, beliau akan membawa cadangan itu ke Kabinet dan berbincang dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Mohammadin Ketapi.


Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Pulau Pinang semalam memberi amaran tindakan pemaju tempatan menarik pelabur Hong Kong membeli hartanah di Malaysia susulan krisis politik di pulau itu, boleh menyebabkan harga rumah meningkat sehingga tidak mampu dibeli rakyat tempatan.


Kebimbangan itu turut dikongsi warganet yang tidak mahu kebanjiran warga asing diburukkan lagi dengan dasar kerajaan yang tidak membantu dalam mengekang masalah berkenaan.


Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dijenamakan semula kepada skim sewa beli, akan tampil dengan unit lebih luas dan kemudahan lebih baik di kawasan strategik.


Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jika harga rumah itu akan melambung tinggi dan nama baru PPR akan diumumkan pertengahan bulan ini ketika majlis pelancaran projek itu.


“Projak itu masih untuk B40, kita hanya ubah nama. Konsepnya lain (dengan PPR).


“Rumah mampu milik itu nanti keluasannya 900 kaki persegi dengan kelengkapan kemudahan di kawasan yang strategi,” katanya merujuk unit PPR yang keluasannya hanya 600 kaki persegi ketika ini.


Pakar hartanah, ahli politik pembangkang dan Pakatan Harapan membantah rancangan kerajaan menghentikan skim menyewa PPR yang biasanya dijual pada harga RM35,000 hingga RM42,000, dijual sekurang-kurangnya pada harga 2 kali lebih tinggi.


The post Menteri cadang kempen jualan rumah kepada pembeli China, Hong Kong appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop