Expired : 18.06.18

Menteri PH Buat Unjuran Ekonomi 10 Tahun Ke Hadapan… Tak Pernah Dibuat Mana-mana Pakar Pun

KUALA LUMPUR, 8 Okt – “Saya rasa Azmin seorang sahaja Menteri Ekonomi dalam dunia ini yang mengunjur inflasi sehingga sepuluh tahun ke hadapan, Amerika Syarikat sendiri pun hanya berani buat tiga tahun ke hadapan,” ujar Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil.


Jelas beliau, tiada seorang pun pakar ekonomi di dunia ini seberani Azmin dalam membuat perkiraan angka-angka unjuran ekonomi.


“Angka-angka unjuran yang Azmin buat berkaitan ekonomi dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), adalah salah dan ia telah ditegur oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.



“Azmin tidak mahu mengaku dia silap. Tidak ada pakar ekonomi yang boleh mengunjur ekonomi 10 tahun akan datang. Bila buat kesilapan begini, bagaimana pelabur nak menilai? Kalau saya pelabur pun, saya tidak mahu melabur dalam Malaysia… sebab itu juga kita lihat Bursa Saham dalam tempoh 500 hari semakin menurun… 300 bilion sudah ditarik keluar.


“Bila kiraan tidak betul, ia akan takutkan pelabur. Ditambah pula dengan sikap pemimpin kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang memanipulasi hutang negara, ini semua buat pelabur tidak yakin. Pemimpin pula ‘flip flop’,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen baru live FB anjuran Penerangan UMNO Malaysi, HUJAH yang bertajuk ‘GST – Siapa Menjilat Ludah?’.


Tambah Isham, selagi kerajaan pimpinan PH mentadbir negara secara tidak konsisten dan membuat dasar secara ‘flip flop’, selagi itulah pelabur akan terus lari dan ekonomi negara akan terus memburuk.




“Apatah lagi bila kerajaan mengambil satu langkah ke belakang dengan menukar GST kepada SST. Semasa mereka menukar GST kepada SST, itu adalah pertimbangan politik dan bukannya pertimbangan ekonomi kerana banyak negara telah menggunapakai GST. Kita satu-satu negara yang patah balik ke belakang.


“Masa kempen PRU-14, ini adalah salah satu kempen besar mereka. Bila menang hapus GST yang mereka lakukan dulu. Sebab apa? Sebab mereka hendak sokongan… kedua, kerana ‘special interest’ iaitu tekanan daripada penyokong-penyokong mereka yang merupakan tauke-tauke besar.


“Dengan SST, banyak tauke dapat lari daripada cukai. Bila kerajaan BN dulu perkenalkan GST, mereka kena bayar cukai dan tidak boleh lari lagi. Ini kerana GST adalah satu percukaian yang telus dan cekap. Struktur kos boleh nampak adakah mereka mengambil kesempatan untuk menaikkan harga. Ini yang mereka tidak mahu. Jadi mereka melobi untuk hapuskan GST,” ujar beliau.

Menerangkan dengan lebih lanjut Isham berkata, apabila kerajaan kembali melaksanakan SST, beberapa bulan kemudian mereka mula panik kerana ia memberi impak dalam pendapatan negara.


“Dulu mereka andaikan harga minyak akan naik. Kalau harga minyak boleh dapat USD80 satu tong maka ini akan dapat ‘cover’ apa-apa lompongan… tetapi itu tidak berlaku.


“Bila panik, itu yang mereka kurangkan bantuan kepada rakyat. Pada hal Bajet 2019 adalah Bajet paling besar dan mereka sangat bermegah ketika itu. Ini semua kerana mereka bergantung kepada harga minyak dan berharap harga akan naik… sekali jatuh.


“Sebab itu sekarang ini Tun (Mahathir) keluar kenyataan akan pertimbang untuk kembalikan GST,” bidas beliau.


Namun beliau yakin, kerajaan tidak akan berani untuk melaksanakan GST kerana mereka ‘terikat’ dengan peniaga-peniaga besar yang merupakan penyokong mereka.


“Sebab itu saya hendak cabar kerajaan untuk perkenalkan semula GST. Saya rasa mereka tidak ada keberanian politik walaupun mereka tahu GST ini lebih baik daripada SST. Cakap GST bagus tapi kenapa tidak buat? Sebab mereka buat kerja bukan kerana kepentingan rakyat ataupun kepentingan ekonomi dan negara tetapi di belakang mereka ada peniaga-peniaga yang perlu dijaga,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE


Norlida Ishak Shop