Expired : 18.06.18

Mereka Kini Mahu Alihkan ‘Batu Sempadan’ Yang Termaktub Dalam Perlembagaan- Mohamad Hasan

RANTAU, 6 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan ahli agar lebih berwaspada dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kini telah memasuki fasa mahu mengubah ‘batu sempadan’.


Beliau memaksudkan ‘batu sempadan’ sebagai apa yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial yang telah pun termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya yang merangkumi hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta kesucian agama Islam.


“Kita bukan sahaja tercabar kerana hilang kuasa di dalam pilihan raya umum yang lalu, malah sekarang kita dicabar pula sedikit demi sedikit, dicabar hak-hak kita, dicabar apa sahaja yang telah dipersetujui terlebih dahulu dalam kita punya perjanjian atau kontrak sosial.



“Orang nak mengalihkan ‘batu sempadan’ apa yang telah kita sama-sama persetujui tetapi mereka cuba-cuba, mereka mahu melihat sejauh mana UMNO ini ada lagi atau tidak. Ada yang mengatakan UMNO akan terkubur dan berkubur,” ujarnya dalam ucapan di dalam Majlis Perjumpaan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama akar umbi parti peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.


Selain presiden dan timbalan presiden, turut hadir sama ke majlis tersebut antaranya Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, kepimpinan pusat sayap pergerakan, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta jawatankuasa perhubungan UMNO negeri.


Mohamad turut mengucapkan kesyukuran kerana mahkamah telah menolak permohonan lima bekas ahli yang mahu mengharamkan UMNO atas alasan teknikal.


Dalam ucapannya juga, Mohamad selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menyatakan manifestasi ahli-ahli negeri tersebut yang mahukan UMNO terus bangkit.


“Manifestasi UMNO Negeri Sembilan yang mahu bangkit, yang mahu melihat parti ini yang tercabar, yang kalah di Negeri Sembilan, kita perlukan tiga kerusi, kalau menang dua, kita seri tetapi jika tiga, kita akan tubuh kerajaan.


“Walaupun tewas, kita akan pastikan pilihan raya umum ke-15, kita rampas kembali Negeri Sembilan. Pedulikan parti-parti lain Dap, PKR, PPBM mereka semua hanya tahu berjanji tetapi tidak mampu laksanakannya, hanya tahu membuatkan orang terpesona,” ujarnya.


Ini kerana katanya, UMNO yang sudah lama mentadbir lebih dipercayai kredibilitinya.


“UMNO telah lama mentadbir dan tahu apa yang kita buat, macam-macam kita tolong. Cuba lihat belanjawan baru-baru ini, adakah (bantuan) untuk kampung?” soalnya sambil disahut audien, tiada!


Di dalam Bajet 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada Jumaat lalu tiada menyebut mengenai bantuan musim tengkujuh kepada peneroka getah, petani, pesawah serta nelayan, katanya.


“Dia cuma bagi peruntukan kepada orang-orang di bandar kerana golongan inilah yang memilihnya, hanya fokus contohnya kepada pemilikan rumah, duti setem dan dia buat orang kampung macam ‘sampah’.


“Peruntukan pembangunan luar bandar dari RM5.3 bilion jadi RM3.5 bilion. Yang amat menyedihkan peruntukan MARA setiap tahun RM3.5 bilion tapi kini hanya RM1.3 bilion sahaja,” kesalnya.


Jelasnya lagi, itulah beberapa contoh ‘batu sempadan’ telah dianjak sedikit demi sedikit oleh kerajaan baru PH. – Media UMNO.


Norlida Ishak Shop