Expired : 18.06.18

Mihail minat latih Terengganu

KERUSI ketua jurulatih Terengganu FC ibarat ‘pisang goreng panas’ apabila jawatan itu turut menarik minat bekas pengarah teknikal Romania, Marian Mihail untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Irfan Bakti Abu Salim bulan lalu.


Mihail, 61, yang memiliki lesen tertinggi kejurulatihan iaitu lesen profesional UEFA serta pengalaman luas selama 40 tahun melatih beberapa negara dan kelab sekitar Eropah dan Asia, dilihat calon paling sesuai untuk menaikkan semula prestasi skuad Penyu.


Menurut seorang ejen bola sepak antarabangsa yang enggan identitinya didedahkan, Mihail menerusi ejennya sudah menghantar permohonan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) selepas menyatakan minat untuk memegang jawatan itu.


Malah katanya, sebuah kelab di Indonesia turut berminat untuk mendapatkan sentuhan bekas pemain kebangsaan Romania dari 1979-1985 itu.


“Beliau berminat untuk datang ke Malaysia dan melatih pasukan Liga Super yang disifatkan antara liga terbaik di rantau Asia Tenggara.


“Terengganu pula antara pasukan yang sering muncul sebagai pencabar kejuaraan. Sudah tentu pengalaman dan ilmu bola sepak moden yang ada pada Mihail boleh digunakan sebaiknya Terengganu,” katanya kepada Arena Metro.


Mihail memiliki rekod cemerlang sebagai jurulatih apabila membantu kelab liga satu Romania, Steaua Bucharest menjulang dua trofi dalam semusim iaitu liga dan Piala Super pada musim 2000-2001.


Mihail seterusnya melebarkan sayapnya dengan melatih kelab di Syria, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dari 2002-2009 sebelum kembali ke negara kelahirannya pada 2011 untuk diberi tanggungjawab besar selaku pengarah teknikal hingga 2014.


“Beliau juga mempunyai kepakaran dalam mengesan bakat muda. Jadi saya percaya kehadiran beliau bukan saja bermanfaat untuk pasukan liga utama tapi juga pembangunan di negeri itu,” katanya.


Ketika ini, difahamkan empat jurulatih tempatan dan luar berminat mengisi jawatan jurulatih Terengganu.


Selain Mihail, bekas pemain negara dan Terengganu era 90-an, Azlan Johar dan Mohamad Ishak Kunju Mohamad turut menawarkan diri di samping jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan dan bekas pengendali pasukan T-Team, Tomislav Steinbruckner.


Norlida Ishak Shop