Expired : 18.06.18

Minta komisyen: ‘Ini fitnah kerana saya sokong Azmin’ – Abdul Yunus

EXCO Kerajaan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari menafikan tuduhan beliau meminta “komisyen” daripada dua syarikat berkenaan permohonan untuk tanah milik kerajaan berkeluasan 93 ekar sambil menyifatkan ia konspirasi untuk membunuh karier politiknya.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri berkata, ada dalang memperalatkan bekas pegawai khasnya, Beh Yong Kean untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.


Abdul Yunus yang juga ADUN Kuala Kurau percaya dakwaan itu dilemparkan kerana pendiriannya menyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti yang lalu.


“Saya menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah jahat yang dilempar terhadap saya seperti laporan polis yang dibuat dan ditularkan pada hari ini,” katanya dalam suatu kenyataan malam ini.


BACA: PH Perak bergolak lagi, Exco didakwa minta komisyen jualan tanah


Katanya, gerakan untuk menjatuhkan beliau bukan perkara baru, malah sudah digerakkan sejak beliau menyokong Mohamed Azmin.


“Saya yakin, tuduhan keji ini dibuat untuk membunuh karier politik saya dan ianya telah bermula sejak pemilihan Parti Keadilan Rakyat pada tahun lalu lagi semata-mata kerana pendirian teguh saya bersama Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.


“Konspirasi jahat ini kini diteruskan untuk menjatuhkan saya sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan mensabotaj kepimpinan Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal Azumu) khususnya menjelang istiadat pelantikan dan angkat sumpah exco dalam masa terdekat,” katanya lagi.


Pagi tadi, bekas pegawai khas exco Perak itu, Yong Kean membuat laporan polis berkenaan dakwaan tersebut.


Dia menuduh Abdul Yunus berniat memberi sokongan kepada permohonan dua syarikat itu dengan komisyen sebagai pertukaran.


Yong Kean juga mendakwa, exco itu membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri kepadanya agar dia dapat memulakan proses rundingan dengan dua syarikat itu.


“Pada 4 Oktober 2018, lebih kurang 9.30 malam di pejabat pusat khidmat adun, dia membocorkan kertas minit mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan negeri Perak kepada saya supaya memulakan rundingan dengan (dua syarikat itu) untuk permohonan milikan tanah kerajaan seluas 63 ekar di Bagan Tiang dan 30 ekar di Kuala Kurau.


“Dia mengarahkan saya supaya meminta komisyen daripada kedua-dua syarikat itu untuk sokongannya dalam mesyuarat masjlis mesyuarat negeri,” dakwanya dalam laporan polisnya.


Bagaimanapun, Abdul Yunus pula mendakwa Yong Kean berdendam kepadanya dan mendakwa bekas pembantunya itu merupakan seorang “pemilik kilang haram.”


“Saya ingin menegaskan bahawa saudara Beh Yong Kean yang membuat laporan polis ke atas saya adalah pemilik kilang haram di Tanjung Piandang.


“Saya yakin, beliau mempunyai motif dendam ke atas saya memandangkan saya juga tidak menyokong kelulusan beberapa permohonan tanah yang dipohon oleh beliau sejak tahun yang lalu,” dakwanya yang juga bekas setiausaha PKR negeri.


Bagaimanapun, Abdul Yunus berkata beliau percaya Yong Kean cuma diperalatkan dalang yang tidak disebut namanya dan akan membuat laporan polis mengenai hal ini.


“Saya percaya ada dalang disebalik tindakan jahat ini dan beliau (Yong Kean) telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu bagi mencalarkan integriti dan imej saya sebagai exco kerajaan Negeri.


“Untuk maksud itu, saya akan membuat laporan polis bersangkut tuduhan jahat dan laporan palsu yang dibuat oleh beliau ke atas diri saya,” katanya lagi.


The post Minta komisyen: ‘Ini fitnah kerana saya sokong Azmin’ – Abdul Yunus appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop