Expired : 18.06.18

MotoGP kembali 'panaskan' litar

MUSIM MotoGP 2020 akan bermula 19 Julai di Sepanyol selepas berakhirnya perintah berkurung akibat pandemik Covid-19 dengan dua perlumbaan berturut-turut akan berlangsung di Litar Jerez.


Terdapat minimum 13 pusingan perlumbaan di Eropah sekitar Julai sehingga November dengan kemungkinan tambahan empat lagi pusingan perlumbaan di luar benua itu hujung tahun ini.


Sama ada peminat boleh menyaksikan perlumbaan di litar bergantung kepada peraturan Covid-19 di setiap negara.



"Kesemua tarikh, kejohanan dan kehadiran penonton adalah bergantung kepada penilaian situasi Covid-19 dan kebenaran kerajaan dan pihak berkuasa masing-masing," kata MotoGP dalam satu kenyataan.


Pada Rabu lalu, Grand Prix (GP) Itali di Mugello adalah perlumbaan kelapan pada musim ini yang dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.


Musim ini sepatutnya bermula 8 Mac lalu di Qatar namun hanya berlangsung perlumbaan bagi kategori Moto2 dan Moto3 ketika itu.


Perlumbaan GP British di Silverstone, GP Jerman di Sachsenring dan pusingan perlumbaan di Jepun, Australia, Finland dan Belanda kesemuanya dibatalkan.


Penganjur MotoGP, Dorna sedang menunggu lampu hijau daripada kerajaan Sepanyol untuk membolehkan perlumbaan dilangsungkan di Jerez.


Sepanyol akan menganjurkan keseluruhan tujuh pusingan perlumbaan dengan GP Catalunya akan berlangsung di Barcelona pada 27 September manakala dua perlumbaan berturut-turut di Aragon dan Valencia pada Oktober serta November.