Expired : 18.06.18

MP Swiss: Dana RM430 Juta Pulangkan Kepada Rakyat

Dana RM430 juta yang dirampas di Switzerland tidak akan dikembalikan kepada kerajaan asal tetapi kepada rakyatnya, jelas seorang penggubal undang-undang Switzerland.


Dalam satu emel, pejabat MP Geneva Carlo Sommaruga memberitahu Malaysiakini bahawa dana itu akan disalurkan kepada mereka yang memerlukannya melalui NGO yang mempunyai integriti yang tinggi.


Sommaruga (gambar atas) membentangkan usul memohon pengembalian dana berkaitan 1MDB sebanyak CHF104 juta (RM430 juta) yang dirampas kerajaan Switzerland kepada Malaysia.


“Tekanan politik untuk mengembalikan wang kepada rakyat Malaysia akan sangat tinggi (sekiranya ada) undi positif oleh Majlis Nasional.


“Tidak, wang itu tidak akan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia, tetapi hanya kepada rakyat Malaysia.


“Biasanya, pengembalian aset yang dirampas disalurkan melalui program NGO Malaysia, yang menjamin program pembiayaan tanpa rasuah untuk kepentingan awam, dan terutamanya kepentingan penduduk miskin.


“Oleh itu, tidak penting jika kerajaan Malaysia menerima atau menolak penghantaran balik,” kata setiausaha antarabangsa Sommaruga, Peter Hug dalam emel itu.


Hug memetik Perkara 17 Akta Aset Haram Asing (FIAA) Switzerland, yang menetapkan bahawa pengembalian aset mesti dilakukan sama ada untuk memperbaiki keadaan hidup penduduk negara asal atau untuk mengukuhkan kedaulatan undang-undang negara itu dan dengan demikian Menyumbang kepada usaha melawan impunity (kebebasan daripada hukuman).


Perkara 18 Akta yang sama menetapkan bahawa jika tiada perjanjian dengan negara asal, pengembalian aset akan dibuat melalui organisasi nasional atau antarabangsa, termasuk NGO.


Pengembalian aset yang berjaya sebelum ini termasuk dana haram dari syarikat minyak milik Brazil, Petrobras pada 2015, dan dari kerajaan Kazakhstan pada tahun 2014.


NGO dan ahli Parlimen pembangkang Malaysia telah melobi untuk dana itu dipulangkan kepada “benefisiari yang sah”, iaitu rakyat Malaysia.


Dana berkenaan dirampas oleh kerajaan Switzerland dari tiga bank – Bank BSI, Coutts & Co dan Bank Falcon – selepas mereka terlibat dalam pengubahan wang berkaitan 1MDB. Bank-bank itu sedang membuat rayuan terhadap rampasan itu di Mahkamah Pentadbiran Persekutuan.


Bagaimanapun, Hug menegaskan bahawa prosiding mahkamah yang sedang berjalan itu tidak akan menjejaskan usul Sommaruga di Parlimen Switzerland.


Dana yang dirampas dari bank-bank tersebut telah dimasukkan  ke dalam Perbendaharaan Persekutuan Switzerland kerana tidak ada pihak yang menuntut, kata Menteri Kewangan Switzerland, Ueli Maurer.


Mengulas mengenai rampasan itu, yang telah dilaporkan dalam akhbar Switzerland – Tages Anzeige – Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata bahawa dia tidak tahu sama ada Putrajaya berhasrat untuk menuntut wang itu.


Menurut Hug, walaupun jika usul untuk mengembalikan dana itu berjaya dalam pengundian, namun proses itu sendiri boleh mengambil beberapa tahun.


Dia menjelaskan bahawa kerajaan Switzerland hanya perlu bertindak atas usul Sommaruga jika ia melalui kedua-dua dewan di Parlimen, di mana selepas itu, pindaan perundangan perlu dilakukan untuk memudahkan penghantaran balik dana.


“Ini akan mengambil banyak masa, sekurang-kurangnya satu hingga tiga tahun,” kata Hug.


Mengenai mengapa Sommaruga memutuskan untuk membawa usul seumpama itu, beliau berkata ia adalah kerana melawan dana haram adalah sejajar dengan prinsip MP Parti Demokratik Sosial itu.


“Parti itu telah berjuang selama beberapa dekad menentang penglibatan bank-bank Switzerland dengan ahli-ahli rasuah elit di negara lain.


“Perjuangan menentang aliran kewangan haram adalah (juga) salah satu matlamat paling penting dalam Agenda Pembangunan Lestari PBB 2030,” kata Hug.


Usul Sommaruga dijangka dibahaskan di Majlis Nasional Switzerlanad pada 15 Mac, jam 5 petang waktu Malaysia. Usul itu disenaraikan nombor tujuh agenda hari itu.– MK


Norlida Ishak Shop