Expired : 18.06.18

MPSJ gantung tugas anggota pukul warga emas hingga rebah

Paparan skrin video seorang warga emas menyerang anggota PBT dengan payung seperti yang tular di media sosial.
Paparan skrin video seorang warga emas menyerang anggota PBT dengan payung seperti yang tular di media sosial.

SUBANG JAYA, 14 Feb — Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menggantung tugas seorang anggota penguatkuasanya yang memukul seorang warga emas hingga rebah dan cedera.

Yang Dipertua MPSJ dalam satu kenyataan hari ini memberi jaminan untuk melakukan siasatan dalaman secara adil dan terperinci.


“Sekiranya orang ramai yang tidak berpuas hati atas sebarang tindakan penguatkuasaan yang dikenakan, mereka boleh mengemukakan aduan secara rasmi kepada pejabat MPSJ atau Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut,” kata Noraini Roslan.


Tular dalam insiden semalam, seorang anggota penguatkuasa sedang melakukan tugas menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas di kawasan komersil USJ 9.


Tidak berpuas hati kenderaan ditunda, pemilik kereta itu terlebih dahulu cuba melepaskan kenderaan daripada alat tunda sebelum memarahi dan memukul anggota MPSJ itu dengan payung.


Anggota penguatkuasa itu kemudian membalasnya dengan tumbukan sambil merebahkan lelaki warga emas itu sebelum ditenangkan orang awam.


Lelaki warga emas itu kelihatan cedera di bahagian kepala.


Hal itu mendapat teguran warga maya termasuk wakil rakyat kawasan itu, Michelle Ng Mei Sze yang menggesa anggota MPSJ tersebut memohon maaf kerana bertindak kasar melampau.


Michelle turut meminta MPSJ melatih anggota penguatkuasanya untuk menangani situasi tegang dan tidak mengulangi perkara sama pada masa akan datang.