Expired : 18.06.18

MSF Menerima Geran Daripada Google Untuk Membangunkan Aplikasi Yang Membantu Mendiagnosis Kerintangan Antibiotik

Médecins Sans Frontières, ataupun Doctors Without Borders (MSF) ialah sebuah badan yang membekalkan perkhidmatan perubatan kepada mereka yang sangat memerlukannya, seperti di kawasan perang dan pedalaman yang tidak mampu mendapatkannya secara sendiri.


Terkini, MSF Foundation, sebuah entiti dibawah Médecins Sans Frontières telah menerima geran sebanyak $1.3 juta (RM5.2 juta) daripada Google Artificial Intelligence Impact Challenge untuk membina sebuah aplikasi yang boleh digunakan untuk mengesan kerintangan antibiotik (antibiotic resistance (ABR)) di situasi-situasi dimana ia sukar untuk penyelidik mendapatkan bacaan yang tepat.


Aplikasi tersebut, yang dinamakan ASTapp, akan menggunakan teknologi pengimejan dan juga kecerdasan buatan untuk menginterpretasi ketahanan terhadap ubat-ubat antibiotik. Output yang diterima daripada aplikasi ini juga dikatakan akan membantu doktor-doktor untuk memberi dos ubat yang sesuai terutamanya untuk pesakit yang mungkin lebih imun kepada ubat-ubatan biasa.


Isu ABR ini sebenarnya sudahpun bertapak selama bertahun-tahun, dan diiktiraf sebagai salah satu sebab utama kematian dalam 50 tahun akan datang. Salah satu sebab utama isu ini ialah kerana kekurangan makmal ujian untuk menjalankan ujian-ujian antibiogram.


Ujian-ujian ini menyiasat ketahanan bakteria terhadap ubat antimikrobial, dan di negara-negara ataupun kawasan dimana penyelidik perubatan tidak mudah dijumpai, doktor dan ahli klinik akan sering memberi dos yang salah kepada pesakit.


Dengan aplikasi ASTapp ini, ia diharap akan memberi doktor-doktor satu cara yang mudah untuk membaca nilai ABR ini tanpa perlu penyelidik tersebut, dan memudahkan lagi doktor-doktor untuk memberi pelan perubatan yang lebih sesuai untuk pesakit-pesakit.


Norlida Ishak Shop