Expired : 18.06.18

MUABELLAZ Pernah Hidup DAIF, Kini HULUR BANTUAN Untuk Bagi KESENANGAN Petugas FRONTLINERS Di Hospital Bahiyah Alor Setar


Siapa yang berada dalam dunia solekan mesti kenal dengan Mua Bellaz. Kreativitinya membuat solekan pelbagai sangat menarik perhatian dan menjadi ikutan. Bila melihat gelagatnya di live Facebook, memang boleh ralit sebab loghat utaranya dan kelakar orangnya!


Satu ketika dahulu, Bellaz hidup dalam keadaan keluarga yang sungguh daif. Anak seorang nelayan ini langsung tidak mengenal erti penat demi mendapatkan sesuap nasi untuk keluarga.



“Ayah saya seorang nelayan dan ibu hanya seorang surirumah. Apabila ayah ‘masuk pulau’, hampir dua hingga tiga minggu juga kami ditinggalkan. Sebagai anak ketiga, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki untuk kami anak-beranak makan, biarpun hanya kais pagi makan pagi.”



Menurut Bellaz, dia pernah masuk ‘kelas ikan’, mengagihkan ikan bilis pada gred yang sesuai sebelum dijual. Dapatlah RM20 sehari, cukup untuk beli beras dan lauk untuk sekeluarga. Cikgu pun selalu tegur kerana dia selalu ponteng.


“Dek kerana sayangkan masa depan anak murid seorang ni, beberapa orang cikgu membuat lawatan ke rumah saya dan mereka juga yang banyak membantu saya sehingga saya dapat belajar sehingga SPM. Mereka yang bayarkan yuran sekolah malah setiap hari saya ‘disuruh’ bertemu mereka untuk dapatkan duit makan sebanyak RM3. YA Allah, sungguh saya bersyukur pada Allah!” sebak Bellaz.



Apabila penularan wabak Covid-19 mula menjadi pandemik, Bellaz sendiri menjadi tidak keruan. Virus yang mampu menyebabkan kematian ini memerlukan ramai tenaga kerja dari pasukan perubatan untuk menanganinya. untuk meringankan beban, Bellaz cuba untuk membantu petugas yang berada di Hospital Bahiyah Alor Setar Kedah.




“Saya tak pernah terfikir untuk mendapat rezeki besar macam ni dari Allah. Saya fikir, cukuplah kalau ada duit untuk makan, tak perlu kaya-raya. Tetapi ini pemberian Allah, jadi saya perlu buat sesuatu agar ia boleh dikongsi bersama orang lain. Di kampung, memang ramai sangat orang yang susah, malah lebih susah dari saya dulu. Kalau saya dengar ada yang perlukan bantuan, saya akan ke rumah mereka dan lihat apa yang boleh dibantu. Begitu juga sekiranya mereka perlukan bantuan dari segi kemudahan infrastruktur.







“Yang kelakarnya, mereka sampai gelarkan saya YB! Tetapi jujurnya, saya lakukan ini semua ikhlas. Saya pernah susah dahulu dan saya tahu apa yang mereka rasa. Saya suka tolong orang dan saya nak tolong semua orang. Duit memang penting tetapi ia bukan segala-galanya. Lagi banyak rezeki yang saya dapat, lagi ramai orang saya nak bantu kerana dalam dunia ni terlalu ramai orang yang susah.”



Semoga Bellaz terus sukses dalam bidang yang diceburi. Bakat yang terpendam itu setidak-tidaknya dapat memberi manfaat kepada orang lain yang memerlukan.



Kredit foto: IG Muabellaz