Expired : 18.06.18

Muafakat Nasional Untuk Semua Bangsa Dan Agama… Jauh Sekali Untuk Rasis – Ustaz Idris

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Naib Presiden PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata, tidak timbul langsung isu kononnya Muafakat Nasional yang dimeterai oleh UMNO dan PAS rasis kerana ia telah ditekankan sejak mula lagi bahawa penyatuan ummah dalam muafakat ini mengambil masyarakat Malaysia yang majmuk tanpa meminggirkan agama dan bangsa lain.


Jelas beliau, mereka yang menuduh dan mengkritik Muafakat Nasional ini sebenarnya adalah golongan yang tidak mahu melihat muafakat ini berjaya.


“Kalau kita lihat pembentangan kedua-dua Presiden parti pada 14 September yang lalu, hala tuju muafakat ini sudah jelas. Mereka yang tidak suka sahaja yang spin kononnya muafakat ini rasis, perkauman dan sebagainya. Dari awal kita sudah keluarkan kenyataan hala tuju perbincangan ke arah penyatuan ummah dengan mengambil kira masyarakat Malaysia yang majmuk tanpa meminggirkan agama dan bangsa lain.



“Mahu tidak mahu kita harus terima realiti politik Malaysia ini terasnya adalah orang Islam dan Melayu. Kedua adalah kewujudan masyarakat majmuk. Apa yang kita hendak bawa dalam muafakat ini ialah Islam memimpin kerana telah terbukti dan teruji bahawa Islam akan memberikan keadilan kepada semua orang sama ada Islam ataupun bukan,” ujar beliau ketika menjadi panel dalam Wacana Ilmu Anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang membahaskan isu ‘Muafakat Nasional: Antara Impian dan Harapan’ malam tadi.


Tambah Idris, kerana itulah apabila ada yang menuduh kononnya kerjasama antara UMNO dan PAS ini adalah satu pengisytiharan perang terhadap orang bukan Islam, ia adalah satu kenyataan yang amat tidak benar.



“Ada juga pemimpin Dap yang berkata kerjasama UMNO dan PAS ini sama seperti Taliban… ada wartawan tanya saya berkaitan ini. Saya jawab, kalau Taliban, dia pun (pemimpin Dap) tidak akan ada di Malaysia.


“Kita lihat 29 tahun di Kelantan PAS memerintah, tidak berlaku penindasan kepada orang bukan Islam. Di Malaysia sendiri 61 tahun di bawah BN, tida berlaku penindasan. Islam walaupun majoriti, orang yang minoriti tetap selamat… ini terbukti dan teruji,” tegas beliau.


Justeru jelas beliau, Muafakat Nasional ini perlu difahami oleh semua bangsa kerana ia bukan sekarang untuk rakyat kini tetapi ia adalah untuk masa hadapan anak cucu-cicit akan datang.


“Sebab itu apa yang ditawarkan dalam Muafakat Nasional adalah satu tawaran baru yang mampu dilaksanakan. Kita tidak buat tawaran seperti PH… Kita realistik kerana generasi muda mahu melihat perkara yang bersifat praktikal. Inilah antara yang ditekankan dalam tawaran kita.


“Kita bukan sahaja bagi tawaran tetapi juga bagaimana mahu menyelesaikan,” ulasnya lagi. – UMNO ONLINE


Norlida Ishak Shop