Expired : 18.06.18

Muat naik video jelik mengenai Islam, aktivis didakwa di mahkamah

SEORANG aktivis didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua tuduhan memuat naik video mengeluarkan kenyataan bersifat jelik melalui Facebook, Februari lalu.


T. Arunakirinathan, 35, dituduh secara sedar memuat naik satu video kenyataan-kenyataan jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dalam Facebook menggunakan profil ‘Arunakiri Nathan II’ pada 11.52 malam, 15 Februari lalu.


Video itu telah dilihat di rumah di Lapangan Perdana 30, Panorama Lapangan Perdana, Kampung Rapat, Ipoh pada 9 pagi 19 Februari lalu.


Pelbagai pihak mendesak kerajaan menyiasat dalang penerbitan beberapa video yang mengandungi kata-kata kesat dan berbaur kebencian sekaligus mengundang kemarahan umat Islam.


Kerajaan sebelum ini berdepan tekanan umum kerana kerana dilihat lambat mengambil tindakan terhadap aktivis-aktivis yang semakin berani membangkitkan isu kaum dan agama.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.


Arunakirinathan juga didakwa secara sedar memuat naik video sama dalam Facebook sama pada masa dan tarikh sama, mengeluarkan kenyataan jelik sama yang boleh membangkitkan kemarahan masyarakat Melayu dan/atau orang Islam, dengan mengetahui mungkin kemarahan itu akan mengakibatkan memecahkan keamanan awam, menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.


Video itu juga telah dilihat di premis sama pada masa dan tarikh sama.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Arunakirinathan yang bekerja sendiri dan beralamat di Petaling Jaya, Selangor, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.


Pendakwaan oleh Azhar Mokhtar, Mohd Waffy Ismail dan Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh diwakili oleh Zauharul Haq Abdul Rahman.


Hakim Azman Abu Hassan membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat perlu melaporkan diri di balai polis terdekat kediaman tertuduh setiap 1 haribulan setiap bulan, bermula bulan depan.


Azman turut menetapkan 17 Oktober ini untuk kes itu disebut semula.


Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana video yang dimuat naik itu menyentuh sensitiviti kaum dan agama, selain terdapat tujuh lagi laporan polis dibuat terhadap tertuduh, selain dua laporan polis terhadap dua `posting’ lain yang dimuat naik tertuduh.


Zauharul Haq bagaimanapun membantah kerana pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh adalah membabitkan kes yang boleh diberi jaminan.


The post Muat naik video jelik mengenai Islam, aktivis didakwa di mahkamah appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop