Expired : 18.06.18

Mukhriz Ikut Jejak Langkah Guan Eng, Hutang Jadi Sandiwara

ALOR SETAR 7 Sept. – Kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu terbeban kerana terpaksa menanggung hutang yang tinggi mencecah RM2 bilion warisan daripada kerajaan terdahulu adalah tidak bertanggungjawab.


Hal demikian kerana Menteri Besar itu adalah sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.


Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kenyataan itu sekali gus menunjukkan sifat pemimpin-pemimpin di bawah kerajaan PH yang sebelum ini suka menuding jari kepada kerajaan BN sudah berjangkit kepada Mukhriz.


Beliau mengingatkan bahawa Mukhriz adalah Menteri Besar di bawah kerajaan BN selama tiga tahun.


“Kita fikirkan hanya Lim Guan Eng sahaja yang suka bersandiwara memainkan sentimen soal hutang kerajaan dahulu, tetapi Mukhriz juga sudah seperti Menteri Kewangan itu.


“Umum tahu jumlah terbesar hutang kerajaan Kedah adalah bagi tujuan infrastruktur pembekalan air bersih kepada orang ramai, yang sekarang kita lihat bekalan asas ini sudah pun hampir mencapai ke setiap rumah penduduk negeri ini.


“Apakah salah berhutang demi kemudahan rakyat? Adakah terbeban sekiranya rakyat mendapat kemudahan air bersih ini? soalnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Pada 4 September lalu, Muhkriz berharap kerajaan Pusat dapat mempertimbangkan untuk menyemak semula dasar diamalkan kerajaan terdahulu dalam usaha membantu negeri berpendapatan rendah tidak terbeban dengan jumlah hutang yang banyak.


Sebagai contoh katanya, bagi menaik taraf loji rawatan air dan lain-lain kemudahan berkaitan, kerajaan negeri telah menanggung hutang hampir RM2 billion dan ia adalah satu jumlah yang mustahil untuk dibayar kerajaan negeri.


Kata Syed Mohd. Johan Rizal lagi, sejak dahulu lagi hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat adalah bersifat boleh diuruskan, malah wujud sikap tolak ansur antara kedua-dua pihak apabila tibanya soal pembayaran.


Katanya, kerajaan Pusat di bawah pimpinan BN tidak pernah menekan kerajaan negeri untuk melangsaikan hutang dengan kadar segera kerana memahami kedudukan kewangan kerajaan negeri.


“Jadi kenapa tiba-tiba Mukhriz pula menyatakan kerajaan negeri terbeban. Adakah beliau tidak faham dalam pengurusan negeri dan negara bahawa hutang itu adalah perkara normal,” kata beliau.


Beliau seterusnya menarik perhatian, semasa sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada April lepas, Mukhriz menyatakan bahawa kerajaan Pusat bersedia melupuskan hutang bekalan air di Kedah yang berjumlah RM1.7 bilion dengan menukarnya kepada geran.


“Apa sudah jadi dengan hasrat kerajaan Pusat itu. Sudah lima bulan berlalu tanpa perkembangan lanjut atau cadangan itu juga sudah U-turn,” katanya secara sinis. – UTUSAN ONLINE


Norlida Ishak Shop