Expired : 18.06.18

Nabil mahu 'hukum' Kedah

PEMAIN sayap lincah Terengganu FC (TFC) kelahiran Kedah, Mohamad Nabil Ahmad Latpi mahu melupakan seketika ikatan persaudaraan di padang apabila kedua-dua pasukan bertembung pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.


Bekas pemain kelab Ultimate FC berasal dari Kampung Paya Sulaiman, Pendang itu yang dipancing pada jendela kedua perpindahan pada Mei lalu berazam memperagakan aksi terbaik selain mahu membuktikan dirinya tetap bernilai biarpun tidak mendapat tempat dalam skuad Helang Merah itu.


Anak penoreh getah berusia 27 tahun itu tekad mahu meledak gol bagi membantu pasukannya mencatat kemenangan dalam perlawanan pusingan kedua peringkat Kumpulan A itu.


“Jika diberi peluang jurulatih, saya tidak akan mempersiakan kepercayaan itu dengan aksi terbaik selain mengintai peluang untuk menjaringkan gol.


“Sasaran saya sudah pasti mahu membantu pasukan mencatat kemenangan bagi memastikan kami layak ke suku akhir lebih awal walaupun bakal mendapat tentangan sengit daripada tiga pasukan lagi termasuk Negeri Sembilan dan PKNS FC.


“Tunggu Jumaat ini sambil mengharapkan kami dapat melaksanakan strategi dirancang jurulatih sebaik mungkin untuk melakar kemenangan,” ujar Nabil yang pernah menyarung jersi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2017/2018.


Skuad Penyu yang kini mengumpul sembilan mata daripada empat perlawanan dilihat belum selesa untuk melangkah ke suku akhir kerana Kedah dan PKNS FC masih berpeluang meranapkan impian naib juara Piala Malaysia musim lalu itu melangkah ke kelompok lapan pasukan terbaik.


TFC yang dibimbing pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain perlu menang bertemu skuad Helang Merah bagi mengesahkan tempat lebih awal ke suku akhir sambil mengharapkan pertemuan PKNS FC dengan Negeri Sembilan berakhir seri.


Norlida Ishak Shop