Expired : 18.06.18

Najib bakal berdepan hukuman digantung tugas 3 bulan

Berikutan tindakannya berkongsi dokumen berstatus ’embargo’ di Facebook, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal berhadapan hukuman berat termasuk digantung tugas sebagai Ahli Parlimen Pekan selama tiga bulan atau lebih.


Difahamkan, Dewan Rakyat pagi ini dijangka meluluskan usul menggantung tugas bekas Perdana Menteri itu.


Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dan Usul-Usul hari ini, usul penggantungan akan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri berikutan bekas Perdana Menteri itu melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melakukan suatu perbuatan menghina majlis.


Menurut usul berkenaan, Dewan Rakyat memandang serius perbuatan Najib yang melanggar Embargo dokumen Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA.



“Bahawa pada hari Selasa, 9 April 2019, 5.39 petang, Yang Berhormat Pekan, Datuk Seri Najib Razak, mengeluarkan kenyataan dan memaparkan perenggan 1.4.6 dan 1.4.7, muka surat 8, Lampiran 1 – Bab 3, Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA di akaun media sosial Facebook beliau ‘Najib Razak’.


“Kertas Putih berkenaan adalah Kertas Perintah 6 Tahun 2019 yang masih dalam Embargo sehingga 11.30 pagi, Rabu, 10 April 2019,” katanya.


Mengikut tatacara dewan, usul berkenaan akan disokong oleh seorang Ahli Parlimen sebelum Yang di-Pertua mengeluarkan arahan menguatkuasakan perintah penggantungan.


Bekas Perdana Menteri itu tidak hadir sepanjang persidangan dewan semalam.


Najib menerusi Facebook jam 5.39 petang kelmarin, memuat naik satu gambar menunjukkan sebahagian daripada kandungan Kertas Putih FELDA yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam.


Najib berbuat demikian bagi mempertahankan dirinya terhadap dakwaan beliau memaksa FELDA membeli 37 peratus pegangan dalam syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (Eagle High) daripada PT Rajawali Capital International, hingga FELDA kerugian berbilion ringgit.


“Tuduhan di media dan laporan polis ialah saya telah menipu FELDA untuk membeli syarikat Indonesia Eagle High Plantations dan menyebabkan kerugian berbilion.


“Tetapi apa yang ditulis di dalam kertas putih FELDA ialah pulangan minima 6% setiap tahun dari pembelian ini tak cukup tinggi! Bukan rugi.



“FELDA beli dengan harga dalam US Dollar, dan meminjam dalam matawang Ringgit dari kerajaan Malaysia, mereka pula nak bandingkan dengan kadar pulangan bon Indonesia pada kadar 8% dalam Rupiah?,” kata Najib dalam tulisan itu.



Susulan itu, semasa sesi penggulungan usul Kertas Putih itu semalam, Ahmad Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) menggunakan Peraturan Mesyuarat terbabit sambil mencadangkan tindakan ke atas Najib yang melanggar peraturan.


Beliau bangkit membacakan peraturan itu selepas pendedahan Mohamed Azmin berkaitan salah laku Najib itu semasa menggulung perbahasan pembentangan Kertas Putih berkenaan. – NMP


The post Najib bakal berdepan hukuman digantung tugas 3 bulan appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop