Expired : 18.06.18

Nama Kementerian Wilayah Persekutuan akan diubah


ALOR SETAR, 25 Safar 1440H, Sabtu – Nama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan diubah bagi menonjolkan peranannya yang kini lebih luas dan bukan hanya terhad kepada pembangunan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sahaja.


Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, perubahan itu juga selaras dengan rasionalisasi KWP yang turut bertanggungjawab ke atas Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta Jabatan Landskap Negara sejak pertengahan Okt lepas.


Beliau berkata, sedikit demi sedikit pihaknya akan membawa perubahan supaya orang ramai lebih faham dengan peranannya yang tidak terhad kepada Wilayah Persekutuan sahaja, tetapi turut merangkumi perancangan bandar dan desa serta landskap di seluruh negara.


“Dalam masa yang sama tumpuan khusus masih lagi kepada Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kerana bandaraya ini bawa imej negara di peringkat antarabangsa. Pertukaran nama ini bukanlah ‘top priority’ tapi yang penting kita mahu orang faham peranan KWP semakin bertambah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 di sini, hari ini.



Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan beliau berkata usaha merealisasikan konsep Bandar Untuk Semua, yang menekankan aspek semua penduduk hidup dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera, merupakan cabaran baharu kepada KWP bagi memastikan ia dapat dilaksanakan di seluruh negara menerusi PLANMalaysia.


“Bagi menjayakannya kerajaan akan sentiasa mementingkan dan mengutamakan keperluan rakyat dalam perancangan dan pelaksanaannya ke arah mewujudkan sebuah negara yang maju, harmoni dan seimbang,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, intipati Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam, sangat bersesuaian dalam membantu proses pemulihan ekonomi negara.


“Walaupun negara terpaksa warisi keadaan jauh lebih teruk daripada dijangka, tapi tidak banyak pemotongan peruntukan untuk kementerian-kementerian dan apa yang dibentangkan semalam cukup melegakan.


“Bagi KWP memang ada penambahan peruntukan disebabkan pertambahan protfolio dan jumlah RM1.56 bilion bagi keseluruhan kementerian sudah memadai dan dengan penggunaan berhemah, tanggungjawab kementerian akan dapat dijalankan dengan baik,” katanya.- Bernama


The post Nama Kementerian Wilayah Persekutuan akan diubah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop