Expired : 18.06.18

Nasihat untuk PH: Akibat politik penuh kepura-puraan, hipokrit


PRK Rantau dua hari lepas dan beberapa PRK yang lalu, jelas memberikan satu lagi isyarat kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa rakyat mula benci, muak, getik dan meluat dengan gelagat sebahagian daripada mereka yang berada dalam tampuk kuasa.


Saya amat yakin jika berlaku PRU15 dalam sebulan dua ini dalam kawasan bukan majoriti ultra kiasu, belum tentu PH akan kekal. Tidak mustahil akan tumbang daripada tampuk kekuasaan.


Sekali pandang, nampak sebahagian pemimpin PH ini macam pandai, tetapi bertindak tidak menampakkan kepandaiannya. Menjadi bahan ketawa dan jenaka.


Tidak kurang yang cuba berpantun dan berseloka serta memetik kata-kata hikmah cerdik pandai ketika perbahasan di Parlimen, bagi menunjukkan mereka hebat dan mempunyai daya intelektual yang tinggi kononnya, malangnya semua itu tidak dapat menarik perhatian. Aura dan faktor ummphh itu tidak ada.


Kata-kata yang dihamburkan bagai angin berlalu, tidak ada kesan, malah semakin menjadikan rakyat rasa benci, meluat, getik dan menyampah. Kenapa? Jawapannya, politik penuh kepura-puraan dan hipokrit.


Kerap kali juga saya mendengar speaker ultra kiasu cuba memperlihatkan kehandalannya berpantun, tetapi bait-bait kata yang diungkapkan begitu hambar. Lebih menjadikan kita meluat untuk mendengar. Kenapa? Tidak ada penghayatan atas pantun yang dibaca. Tidak nampak penghayatan bahasa.


Untuk makluman ultra kiasu, Bahasa Melayu ini seni dan indah. Mempelajarinya memang mudah, tetapi menghayatinya belum tentu. Pantun, syair, seloka, lagu dan apa jua sastera Melayu perlu kepada penghayatan bahasa sebelum ia boleh dimuntahkan.
Bukan setakat membaca dan menghafal. Hari ini sukar sangat mencari penyanyi dan pelakon bukan Melayu untuk mendendangkan bahasa indah ini.


Sebab itu, kita amat ragu, kadang-kadang kelihatan ramai pelajar SPM bukan Melayu mendapat A atau A+ mata pelajaran Bahasa Melayu. Tetapi apabila tiba kepada penghayatan bahasa, dimuntahkan, ternyata jauh berbeza dengan keputusan cemerlang yang diperoleh. Rupa-rupanya keputusan cemerlang yang diperoleh disebabkan oleh kepandaian mereka menghafal.


Ini sebahagian daripada proses pembinaan negara bangsa yang sedang berlaku. Bahasa negara dipelajari bukan kerana kewajipan sebagai warganegara. Tetapi hanya untuk memenuhi syarat dan mendapat sijil penuh serta cemerlang dalam peperiksaan. Akhirnya, kita hanya melahirkan warga dan pemimpin politik penuh kepura-puraan jauh daripada keikhlasan.


Sebab itu, apabila kita mengikuti perbahasan di Parlimen, lihatlah gelagat dan telatah mereka. Hebat sekali rupanya mereka berlakon. Jika ada anugerah, wajar diberikan kepada wakil rakyat ultra kiasu ini, terutama lakonan menteri menangis di atas pentas.


Nasihat saya, jika ingin kekal lama tampuk kekuasaan, elok teliti beberapa perkara berikut:


Pertama, fokus kepada manifesto PH. Janji dikota. Jangan kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi. Rakyat masih menanti-nanti bilakah tol dan PTPTN mahu dihapuskan. Begitu juga dengan harga barang dan harga minyak yang masih lagi tinggi. Harga komoditi masih lagi rendah, serendah nilai ringgit;


Kedua, hentikan politik tuding jari. Jari tengah perlu menuding kepada diri sendiri. Mereka sudah pun didakwa dan biarkanlah mahkamah yang menjatuhkan hukum. Seseorang yang dituduh itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Tidak usahlah lagi menyalahkan regim terdahulu disebabkan oleh kelemahan dan kekurangan sendiri. Hentikanlah politik ini dengan segera kerana rakyat sudah cemoi, muak, getik dan meluat;


Ketiga, kurangkan cakap perkara merapu. Dahulukan rakyat dan utamakan pencapaian. Dahulu kita ketawakan menteri kerajaan terdahulu bercakap jika harga ikan naik, jangan makan ikan, begitu juga dengan ayam. Tol naik, jangan guna jalan bertol, gunakan jalan lama.


Sekarang apabila berkuasa, macam mana? Cuba nilai kembali kata-kata kita seperti menoreh getah di musim tengkujuh, menanam buluh di ladang sawit. Saya tidak mahu komen mengenai warna kasut. Cukuplah sekadar memberi satu dua contoh;


Keempat, jangan mengata dulang paku serpih, mengata orang, sendiri yang lebih. Selain ahli Lembaga Pengarah YADIM yang menjadi sarang orang politik, institusi awam yang lain tidak terlepas, termasuk lembaga pengarah universiti dipenuhi dengan orang politik. Apakah PH sudah lupa dengan janji-janji tidak akan mempolitikkan institusi awam. Profesional yang dilantik sekadar memenuhi syarat. Orang politik paling ramai; dan


Kelima, jangan biarkan perut rakyat kosong. Pastikan tidak ada yang mengikat perut. Macam-macam perkara boleh berlaku apabila perut lapar. Sentiasalah bergaul dengan orang-orang yang lapar, tidak pernah cukup makan. Jangan asyik bergaya dengan kereta rasmi, pengawal peribadi, jaket dan blazer orang putih. Sekali-sekala kena berkain pelikat gombang. Rasai derita orang kampung.


Banyak lagi nasihat lain yang boleh disenaraikan. Cukuplah sekadar ini dahulu untuk ditimbangkan sebelum berlaku lagi PRK yang lain. Tidak mustahil jika berlaku lagi PRK di kawasan majoriti Melayu sekitar 50 peratus, PH akan kecundang lagi meskipun sebelum ini, kerusi itu milik asal mereka seperti Semenyih.


Akhirnya, sebelum menutup kalam, jika PH terus mengundang masalah demi masalah setelah peringatan demi peringatan diberikan, termasuk tindakan yang mahu dikenakan terhadap empat ahli akademik dalam isu Statut Rom, bermakna, Yang Maha Berkuasa tidak mahu kita kekal lama dalam tampuk kuasa.



Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).


The post Nasihat untuk PH: Akibat politik penuh kepura-puraan, hipokrit appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop