Expired : 18.06.18

Negara tak dibina sempurna jika akal sarjana dipenjara: Maszlee


Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin


BANGI, 6 Zulkaedah 1440H, Selasa – “Tidak ada negara yang dapat dibina dengan sempurna, jika akal sarjananya dipenjara dan budi serta integritinya tercalar,” demikian kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.


Beliau dalam satu kenyataan, hari ini menegaskan, pihaknya mahukan suasana institusi pendidikan tinggi meriah dengan wacana dan perdebatan, dengan ahli akademik tidak gentar dalam menyatakan pandangan-pandangan benar berasaskan kekuatan hujah akademik mereka.


Pada masa sama, beliau berkata, KPM berhasrat untuk memastikan sebarang isu-isu integriti membabitkan ahli akademik dapat dihapuskan. 


“KPM amat menyanjung tinggi kebebasan dan integriti akademik. Kita sentiasa menggerakkan pelbagai usaha dalam mengukuhkan kerangka perundangan dan peraturan yang bersesuaian demi memastikan kedua-dua aspek penting ini sentiasa terpelihara.


“Pindaan terhadap Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 – Akta 605 dilihat sebagai satu usaha terkini KPM untuk memastikan kebebasan akademik sentiasa terjamin dan dalam masa sama memastikan integriti ahli akademik di negara kita dapat diperkukuhkan,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, KPM mahu membina sebuah kebebasan penuh tanggungjawab dan institusi pendidikan tinggi yang terus mekar membina nama dan reputasi sebagai penyelesai masalah masyarakat.


Terdahulu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengarahkan Pensyarah Sains Politik, Abdul Muein Abadi supaya tidak menulis sebarang isu politik yang sensitif.


Arahan itu dikeluarkan susulan penulisan artikel bertajuk ‘400 Hari PH Jual Lebih RM20 Bilion Aset Negara’ yang kemudiannnya mendapat kecaman daripada penasihat media kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.


Kesal dengan keputusan itu, Abdul Muein berkata, beliau akur sepenuhnya dengan arahan itu walaupun sedih dan terkilan kerana tidak lagi berpeluang menyumbang pandangan kritis kepada pentadbiran negara.


The post Negara tak dibina sempurna jika akal sarjana dipenjara: Maszlee appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop