Expired : 18.06.18

Nekad jadi pengedar dadah, pekebun hanya sempat 6 bulan hidup mewah

MUNGKIN bosan dengan pendapatan tidak seberapa sebagai pekebun, seorang lelaki nekad untuk menjadi pengedar dadah sepenuh masa semata-mata mahu merasai nikmat kemewahan.


Tindakan itu mulanya menampakkan hasil apabila dia memperoleh keuntungan lumayan dengan menjual dadah sekitar ibu negara sehingga mampu membeli kereta mewah, barang kemas berjenama selain menyewa kondominium mencecah ribuan ringgit sebulan.


Namun, nikmat kemewahan itu hanya bertahan enam bulan apabila lelaki berusia 51 tahun itu dicekup polis dalam satu serbuan tempat letak kenderaan di Cheras Khamis lalu.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam tangkapan kira-kira pukul 11.30 malam, sebanyak 264 gram serbuk ekstasi dan ketamin seberat 104 gram berjaya dirampas.


Ujarnya, hasil soal siasat suspek, satu serbuan telah dilakukan ke atas kondominium milik suspek kira-kira pukul 12.15 tengah malam.


“Pemeriksaan lanjut menjumpai dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 3. 47 kilogram (kg) dan ketamin (1.08 kg), pil eramin 5 (480 biji), pil ekstasi (112 biji) dan heroin (26 gram) yang dianggarkan bernilai RM456,720.


“Polis kemudian turut menyita barang seperti wang tunai, dua utas rantai, dua bentuk cincin, jam tangan jenama Rolex serta sebuah kenderaan jenis Range Rover yang mana kesemuanya dianggarkan berjumlah RM357,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu, siasatan lanjut mendapati suspek aktif sejak enam bulan lalu dengan mengedar dadah di pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur.


Jelasnya, bagi mengaburi pihak berkuasa, dadah ini akan dicampur dengan serbuk minuman sebelum dibungkus dalam paket minuman tersebut dan akan dijual dengan harga RM300 sehingga RM400 sepeket.


“Malah, suspek ini juga dikesan menjadikan kondominum yang disewa dengan bayaran RM2,000 secara bulanan terbabit sebagai stor menyimpan dadah tersebut.


“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian suspek serta pusat hiburan yang terlibat,” katanya.


Tambah Mazlan, pemeriksaan lanjut mendapati suspek positif dadah dan kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


The post Nekad jadi pengedar dadah, pekebun hanya sempat 6 bulan hidup mewah appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop