Expired : 18.06.18

Neymar bangga penampilan ke-100

MENJELANG penampilan ke-100 bersama Brazil, penyerang Neymar bercerita mengenai komitmennya terhadap pasukan kebangsaan dan kelab, Paris-Saint Germain.


Brazil berdepan Senegal pada aksi persahabatan di Singapura malam ini dan persekutuan bola sepak negara itu menghadiahkan Neymar dengan jersi istimewa semalam dengan nombor 100 tertera di belakang bukan nombor biasa 10.


“Saya gembira bersama pasukan kebangsaan dan kelab,” kata Neymar, yang cuba meninggalkan Paris untuk kembali beraksi bersama bekas kelab Barcelona pada musim panas lalu.


“Setiap orang tahu apa yang berlaku ketika jendela perpindahan sebelum ini, keinginan awal saya, tapi hari ini saya gembira dan berasa selesa bersama kelab saya.


NEYMAR (tengah) ketika sesi latihan di Singapura semalam. Brazil berdepan Senegal dan Nigeria pada aksi persahabatan minggu ini. — FOTO Reuters



“Musim ini juga bermula bagus buat saya. Saya akan mempertahankan maruah kelab saya,” kata pemain berusia 27 tahun itu yang bergelut dengan kecederaan kaki ketika beraksi di Paris. “Saya akan memberikan komitmen 100 peratus jadi kami boleh melakukan perkara hebat.”


Jersi itu disampaikan oleh Bebeto, penyerang yang pernah beraksi 75 kali buat Brazil, tampil dalam dua final Piala Dunia, menang yang pertama pada 1994.


“Saya gembira untuk mencapai angka ini,” kata Neymar. “Keputusan amat positif, walaupun jika kehidupan seorang pemain bola sepak bukannya berkisar mengenai kemenangan. Ada juga banyak kekecewaan, kekalahan. Anda tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.”


Neymar menjaringkan 61 gol dalam 99 perlawanan buat Selecao, muncul penjaring gol ketiga terbanyak dalam sejarah pasukan kebangsaan. Dia hanya ketinggalan satu gol di belakang Ronaldo namun perlukan 16 gol untuk mengejar Pele.


Norlida Ishak Shop