Expired : 18.06.18

Nga Kor Ming lawan Mah Siew Keong di Teluk Intan

 


TELUK INTAN: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming akan menentang Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong di kerusi Parlimen Teluk Intan.


“Saya nak umum calon DAP di Teluk Intan bukan Datuk tapi ada pengalaman, rela kerja keras untuk Malaysia. Kita boleh menang di Putrajaya. Beliau calon DAP di bawah simbol PKR, Nga Kor Ming,” Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat pengumuman itu dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) yang dihadiri 7,000 orang di Teluk Intan, malam ini.



Nga yang memenangi kerusi Parlimen Taiping dengan majoriti lebih 11,000 undi sejak 2008, percaya rakyat akan menyokong pembangkang.


“Saya bukan orang kaya, hanya cucu penoreh getah dan anak guru. Calon Barisan Nasional (BN) dia kaya dan jawatan tinggi, saya percaya kuasa rakyat bersama kita, bersatu kita teguh,” katanya merujuk Mah yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi.


Mah bertanding di Teluk Intan sejak 4 penggal lalu. Beliau mengalahkan calon DAP, Raj Nallaiya dengan majoriti 2,783 undi pada 1999 serta menewaskan calon DAP dan PKR dengan kelebihan 10,041 undi pada 2004.


Beliau bagaimanapun tewas kepada calon DAP, M Manogaran dengan majoriti 1,470 undi pada 2008 dan Seah Leong Peng juga daripada DAP dengan kelebihan 7,313 undi pada 2013.


Susulan kematian Seah pada 1 Mei 2014, Mah berjaya merampas kerusi Parlimen Teluk Intan pada pilihan raya kecil tahun itu selepas menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti tipis 238 undi.


Sementara itu, dalam ceramah sama, Nga turut menyanyikan lagu anti-GST (cukai barang dan perkhidmatan) beliau dalam bahasa Melayu dan Mandarin.


“Hapus GST, hapus GST, undi Harapan,” nyanyinya selepas berucap mengenai GST yang PH rancang untuk hapuskan dalam tempoh 100 hari selepas merampas Putrajaya daripada BN.


Sebelum ini, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang, dikritik kerana menyanyi lagu anti-GST dalam majlis perasmian kelas tuisyen kanak-kanak percuma tajaan kerajaan Pulau Pinang.


The post Nga Kor Ming lawan Mah Siew Keong di Teluk Intan appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop