Expired : 18.06.18

Nicol terkandas di tangan Nour

RATU skuasy negara, Datuk Nicol David gagal ke suku akhir Kejohanan Terbuka DPD selepas kalah kepada juara dunia, Nour El Sherbini dari Mesir pada pusingan kedua di Eindhoven, Belanda, awal pagi tadi.


Nour, pilihan kedua, terbukti terlalu gagah bagi pemain kelahiran Pulau Pinang itu apabila menang selesa 11-8, 11-4, 11-2 dalam hanya 21 minit.


Mengulas mengenai kekalahan itu, Nicol berkata, Nour berada dalam kedudukan terbaik untuk memenangi perlawanan itu dan menyatakan dia sudah memberi tentangan habis-habisan namun lawannya itu membuktikan dia pemain terbaik dunia.


“Dia (Nour) masih meneruskan aksi cemerlangnya, saya amat kagum dengan tiga kejuaraan dunia yang diraihnya setakat ini,” kata Nicol.


Nicol, yang menetap di Amsterdam, mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan yang sentiasa memberi sorakan galakan kepadanya sejak 16 tahun lalu, terutama apabila dia memenangi dua kejuaraan dunia di Eropah.


“Sungguh hebat apabila ada pasukan sorakan yang memberi galakan kepada saya dan menyokong saya hingga ke penamat.


“Saya fikir cara penduduk dan cara SquashCity menjadikan mereka keluarga sebenar buat saya yang berada jauh dari tanah air. Memang seronok berada di sini dan saya rasa belum puas, ia amat hebat, begitu banyak kenangan indah,” kata Nicol.


Nicol yang akan bersara hujung musim ini, merakamkan penghargaan kepada legenda skuasy Australia, Liz Irving yang sentiasa berada bersama sepanjang jatuh bangun kerjayanya sejak 16 tahun lalu.


Sementara itu, Nour berkata, bermain menentang Nicol yang juga antara legenda sukan skuasy sejak beberapa dekad lalu menjadi detik istimewa dalam hidupnya.


“Saya sudah beberapa kali berdepan dengannya dan perlawanan itu sentiasa istimewa. Dia banyak berjasa kepada sukan ini dan saya pula banyak belajar daripadanya. Semasa saya masih muda, saya sentiasa menyanjungnya, jadi memang sukar untuk bermain menentangnya,” kata Nour.


“Saya rasa kali pertama kami beraksi adalah di Malaysia dan dia kalahkan saya 3-0 dalam masa 20 minit. Saya juga kalahkannya 3-2 di Malaysia buat kali pertama pada Kejohanan Dunia. Ia satu daripada pencapaian terbesar karier saya,” katanya.


Norlida Ishak Shop