Expired : 18.06.18

Nie Ching dicemuh netizen cuba ambil kredit pengiktirafan UEC

BANGI, 30 Rejab 1441H, Rabu – Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dikecam netizen susulan tindakan beliau cuba mengambil kredit terhadap isu Pengambilan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam kalangan calon lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).


Nie Ching dalam kenyataan di Facebooknya pada 18 Mac lalu mendakwa, beliau berjumpa dengan Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan pengambilan pelajar IPGM dari calon lepasan UEC dan sijil agama.


Pemimpin DAP itu mendakwa, Dr Mahathir telah meluluskan isu pengambilan itu pada 20 Februari lalu – sebelum Pakatan Harapan (PH) tumbang – dan menyatakan gembira polisi berkenaan diteruskan walaupun selepas perubahan kerajaan.


Bagaimanapun, kenyataan Nie Ching itu mengundang kritikan dalam kalangan netizen yang menyelar beliau kerana mengambil kredit dalam isu berkenaan, sebaliknya mereka mendakwa ianya adalah hasil usaha Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2011 lagi.


“Bukan dia yang buat semua itu. Dia adalah penyebab 0 peratus pengambilan lepas UEC ke IPGM tahun lepas. Ini adalah usaha BN sejak 2011 lagi. Dia nak dapat nama atas usaha orang lain,” tulis Watermelon Daily Luay Poh Cheng.


“Teo Nie Ching, awak masih tak rasa malu? Ini telah diluluskan masa Najib lagi, bukan awak yang buat. Awak telah menyebabkan Jawi masuk ke dalam sukatan SRJKC, kami akan ingat selamanya. Awak akan diingati sebagai pesalah untuk masa yang lama.


“YB, saya berharap sebagai kaum minoriti, orang Cina kita boleh kata berulang kali pengiktirafan UEC ditangguh, kerana kita menghormati kedudukan bahasa Melayu dalam negara ini. Kita lebih mementingkan dan mengharapkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan demokrasi. Ini dapat menjamin manfaat untuk semua kaum,” tulis Timothy Liew.


Sebelum ini, Ismaweb mendedahkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan iklan pengambilan khas PISMP dengan kepujian bagi calon laluan khas untuk pelajar lepasan UEC.


Malah, terdapat poster dikeluarkan dengan kapsyen calon lepasan UEC, SMA dan SMU berumur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2020 layak untuk memohon PISMP.


Bagaimanapun, KPM yang mengambil maklum isu itu berkata, ketetapan bagi pengambilan calon guru lulusan UEC untuk adalah untuk subjek Bahasa Cina di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC).


KPM juga menjelaskan bahawa pengambilan pelajar bawah program ini dibuat setiap tahun semenjak 2011 lagi.


The post Nie Ching dicemuh netizen cuba ambil kredit pengiktirafan UEC appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.