Expired : 18.06.18

Norsabrina Akan Tanding Jawatan Exco Wanita UMNO

KULIM, 12 Jun – Exco Pergerakan Puteri UMNO Datuk Norsabrina Mohd Noor menawarkan diri bertanding sebagai Exco Wanita UMNO dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu pada pemilihan parti itu kali ini.


Norsabrina yang juga Ketua Pu¬teri UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, berkata keputusan itu diambil berikutan beliau mahu memberi lebih perhatian dalam memperkuatkan semula UMNO di kawasannya selepas meraih kemenangan tipis dengan majoriti 377 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.


“Saya mahu mengembalikan semula kepercayaan orang ramai terutama di peringkat akar umbi kepada UMNO,” katanya selepas menyampaikan sumbangan daripada syarikat Era Edar Marketing Sdn Bhd kepada 30 ibu tunggal dan asnaf di Kampung Sungai Kechil Ilir semalam.


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu itu turut menolak khabar angin bahawa beliau akan menyertai kerajaan Pakatan Harapan di Kedah.


“Saya masih setia dengan UMNO walaupun sedar hanya kami bertiga (Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail) wakil UMNO di negeri ini. Bukan itu saja, kami bertiga tidak pernah ada niat atau berbincang mengenai perkara ini walaupun menerima banyak tawaran.


“Saya juga percaya, lompat parti hanya menyelesaikan masalah secara jangka pendek dan bersifat individu tetapi tidak menyelesaikan masalah di kawasan sendiri, ” katanya.


Pada PRU14 lepas, Barisan Nasional hanya memenangi tiga daripada 36 kerusi DUN, PAS (15) dan Pakatan Harapan 18 kerusi.


Norlida Ishak Shop