Expired : 18.06.18

Nur Annissa bayi 'ajaib'

“SAYA reda dengan dugaan ini, harapan kami sekeluarga dia membesar seperti abangnya yang lain.


“Walaupun doktor memaklumkan dia hidup tak lama selepas dilahirkan, namun Alhamdulillah sehingga hari ini, puteri tunggal kami sihat,” luah Norwati Saad, 35, ibu bayi perempuan berusia lima hari yang menghidap ‘holoprosencephaly’.


Akibat masalah dialaminya itu, otak Nur Annissa Zaki, yang juga anak bongsu daripada lima beradik berada di luar tempurung kepala selain turut menghidap sumbing di lelangit.


Menurut Norwati, ketika usia kandungannya tujuh bulan, dia dikejutkan apabila dimaklumkan oleh doktor bayinya tiada tisu kepala serta saiz kepalanya juga kecil.


Katanya, walaupun dia dan suami, Zaki Rosly, 40, agak terkejut dengan berita itu namun dia nekad melahirkan bayi dikandungnya.


“Ketika doktor dapat mengesan masalah dihidapi saya diberi pilihan jika mahu menggugurkan kandungan kerana jika dilahirkan kemungkinan hayatnya tidak lama.


“Dia dilahirkan normal dengan berat 2.6 kilogram dan kelahirannya membuatkan impian saya dan suami untuk memiliki anak perempuan tercapai kerana ketika di dalam kandungan jantinanya tak dapat dipastikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Linggi, Alor Gajah hari ini.


Nur Annissa perlu dipakaikan sarung kepala bagi mengelakkan otaknya terdedah. FOTO Khairunisaah Lokman



Menurutnya, dia dan suami sudah bersedia jika berlaku sesuatu ke atas anaknya itu.


“Ragamnya sama seperti bayi normal lain tetapi dia menangis jika terkena bahagian otaknya yang terkeluar.


“Saya reda dan tak tahu berapa lama Allah bagi pinjam dia buat kami,” katanya.


Sementara itu, Zaki berkata, dia berharap ada pihak sudi tampil membantu anak bongsunya itu.


“Jauh di sudut hati tidak sanggup melihat keadaannya sebegini.


“Kami sudah sepakat menjaganya selain berdoa bayi kami ini sembuh,” katanya.


Norlida Ishak Shop