Expired : 18.06.18

OIC, Liga Arab mesti bantu negara-negara Islam dari kesan COVID-19

BANGI, 19 Syaaban 1441H, Isnin – Pandemik COVID-19 telah meletakkan seluruh dunia dalam ketakutan apabila ‘pembawa maut’ ini tidak dapat dilihat secara kasar, bahkan menyebabkan kerugian besar kepada nyawa dan pendapatan rakyat.


Lantaran itu, sebagai penyelesaian segera demi memelihara rakyat dari krisis lain di masa depan, Kuala Lumpur Summit menyarankan semua pihak memberi keutamaan kepada golongan yang kurang berkemampuan, kumpulan lemah seperti pelarian, tahanan, warga emas dan orang sakit.


Setiausaha Kuala Lumpur Summit, Dr Abderrazak Makri turut menggesa kerjasama antarabangsa dilaksanakan segera untuk menaik taraf perkhidmatan kesihatan di peringkat pencegahan dan penerokaan awal serta rawatan di semua peringkat penyakit.


Selain itu, dari aspek peralatan kesihatan, boleh mengambil pengalaman negara yang berjaya dalam memerangi coronavirus, ianya sebagai tambahan kepada tahap penyelidikan untuk mengetahui vaksin dan rawatan yang efisien.


“Mempertimbangkan juga kesan ekonomi dan langkah penjarakan sosial; penutupan perniagaan untuk sementara dan kekal; serta menyediakan keperluan hidup yang diperlukan untuk menjamin kesejahteraan manusia.


“Bergerak ke arah sistem ekonomi alternatif yang meletakkan manusia dan alam sekitar terlebih dahulu; menumpukan kepada pembangunan mampan, dan dasar penyertaan dalam pembangunan; serta mengutamakan dimensi sosial dan solidariti dalam proses ekonomi daripada dasar kepentingan, mementingkan diri, tamak dan konflik pasaran dan sumber,” katanya dalam satu kenyataan.


Dr Abderrazak turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab mengambil tanggungjawab dalam memelihara negara Arab dan muslim dari kesan kesihatan dan ekonomi akibat pandemik coronavirus, khususnya kepada mereka yang terdedah.


Katanya, mereka juga harus bertanggungjawab ke atas rakyat Palestin yang terkepung.


“Negara-negara Arab dan muslim harus memikirkan mengenai pandemik dan kesannya serta mula membina realiti politik, ekonomi dan kewarganegaraan baharu yang meletakkan negara Islam dalam kedudukan yang lebih baik di kalangan negara-negara lain selepas coronavirus.


“Bahkan negara-negara yang mengambil bahagian Sidang Kemuncak Kuala Lumpur wajar mengambil inisiatif dan memberi contoh baik untuk perpaduan dan kerjasama untuk memerangi pandemik.


“Pada masa sama, perlu bersedia dengan apa jua keadaan, serta menjadi contoh kepada negara-negara lain di dunia Islam,” katanya.


The post OIC, Liga Arab mesti bantu negara-negara Islam dari kesan COVID-19 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.