Expired : 18.06.18

Operasi bersepadu buru warga Afrika di Desa Aman Puri



KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1440H, Rabu -Polis akan melakukan operasi bersepadu di kawasan pangsapuri Desa Aman Puri, Kepong dalam waktu terdekat bagi mengesan warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan.


Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof berkata, operasi tersebut sedang disusun bersama agensi lain seperti Jabatan Imigresen bagi memastikan ia berjalan lancar.


“Buat masa ini, kita sedang mengumpul maklumat menerusi proses pemantauan dan risikan yang dilakukan di kawasan terbabit. Operasi ini turut melibatkan agensi lain kerana kita sedia maklum kawasan itu dipenuhi pendatang asing warga Afrika, dan mereka ini dikenali dengan sifat yang gemar melawan.


“Oleh sebab itu, perancangan rapi dan ‘man power’(anggota) yang mencukupi diperlukan dan dalam masa yang sama, pemantauan secara berkala akan terus dilakukan menerusi rondaan polis bermotosikal,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini.


Beliau berkata, dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini tiada sebarang laporan diterima daripada penduduk berhubung sebarang kejadian jenayah di kawasan itu, bagaimanapun penduduk digesa membuat aduan jika berlaku sebarang kejadian jenayah dan kelakuan tidak bermoral di kawasan itu.


Beberapa hari lalu, media melaporkan, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengarahkan tindakan segera diambil terhadap sekumpulan warga Afrika di Desa Aman Puri, Kepong yang menimbulkan masalah dan kekecohan di kawasan itu.


Ia berikutan maklum balas diterimanya ketika beliau turun sendiri meninjau kawasan berkenaan, baru-baru ini. -Bernama


The post Operasi bersepadu buru warga Afrika di Desa Aman Puri appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop