Expired : 18.06.18

Optimis Mahu Bantu, Sokong Pengkarya Industri Perfileman, Digital Content Connection & ACE Pictures Jalin Kerjasama


Seiring dengan perkembangan dunia digital yang kian pesat berkembang di seluruh dunia, Digital Content Connection (DCC) mengambil inesiatif dengan menjalin hubungan bersama ACE Pictures menerusi sebuah perjanjian kerjasama.


Menerusi kerjasama berkenaan, dua syarikat tersebut bakal membuka ruang, seterusnya menyediakan sokongan terhadap bakat-bakat tempatan, terutamanya dalam industri perfileman, khasnya yang melibatkan dunia digital.



Malah, diharapkan kerjasama ini akan memberi ruang buat pengkarya untuk mempersembahkan naskhah mereka dalam skop yang lebih luas.


DCC akan menggalas tanggungjawab dengan mewujudkan sistem sokongan bagi memberikan nasihat serta pandangan dalam pembangunan projek filem untuk pembikin filem.


Sementara ACE Pictures pula akan mengenalpasti, seterusnya membuat kajian dan menyediakan dana kepada projek yang layak serta menepati syarat yang ditetapkan agar menarik minat pasaran global.


Ketua Pegawai Eksekutif ACE Pictures, Johnny Chang, melihat kolaborasi ini sebagai satu kerjasama menarik dan optimis di dalam memberi impak baik buat pengkarya filem tempatan.



“Kami teruja dengan jalinan kerjasama ini. Gabungan antara dua teraju ini diharap dapat dapat membantu mengetengahkan karya penerbit filem tempatan yang mempunyai kualiti terbaik dalam naskah mereka di peringkat antarabangsa.


“Kami bukan sekadar mahu menyediakan dana semata-mata, sebaliknya impian kami adalah untuk untuk melihat pengkarya tempatan menggapai kejayaan di peringkat global, di mata dunia,” katanya.


Johnny Chang berkata demikian pada sidang media yang telah pun berlangsung di Zebra Showcase, Palace of the Golden Horses, baru-baru ini.


Terdahulu, DCC merupakan sebuah organisasi baru yang diketuai oleh mereka yang mempunyai pengalaman luas selama lebih 40 tahun dalam industri kreatif.


Syarikat berkenaan mempunyai objektif untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kebolehan tinggi dalam kreativiti digital.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Content Connection, Datuk Raja Aznil Raja Hisham pula sebolehnya mahu memberi peluang besar buat pengkarya berkualiti untuk mempersembahkan karya mereka tetapi tersekat atas kekangan dana.


“Tidak dinafikan, masalah kekurangan dana menjadi sesuatu yang sering diperkatakan dan sebolehnya kami mahu meringankan ia dengan membantu dengan cara tersendiri.


“Selain mahu memasarkan Malaysia sebagai rakan kolaborasi ideal untuk hub kreatif dan kandungan digital, DCC juga akan terlibat dalam meningkatkan kemahiran serta teknologi.



“Ia penting bagi memudahkan pengeluaran filem, kesan efek khas, animasi, permainan dan banyak lagi,” maklum Aznil.


Di majlis yang berlangsung, ‘media presentation’ untuk Digital Content Connection (DCC) juga turut dipertontonkan.


Norlida Ishak Shop