Expired : 18.06.18

‘Orang Anwar’ gelisah, desak Latheefa Koya letak jawatan


BANGI, 5 Syawal 1440H, Ahad – Ahli Parlimen Setiawangsa daripada PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyokong petisyen online menggesa Latheefa Koya meletak jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Selain menandatangani petisyen dimulakan Malaysia Baharu dalam change.org, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu turut menyeru orang ramai menandatangani petisyen berkenaan.


“Pakatan Harapan telah beri komitmen untuk pelantikan Pesuruhjaya SPRM disahkan oleh JK (Jawatankuasa) Parlimen.


“Mari kita sama-sama tandatangan petisyen ini agar komitmen ini dipenuhi. Isu ini lebih besar dari Latheefa Koya tetapi tekad reformasi yang kita janjikan kepada rakyat,” katanya dalam beberapa laman sosial beliau, hari ini.


Latheefa Koya diumum menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, 4 Jun lalu, sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, berkuat kuasa 1 Jun, mencetuskan perbincangan panas di kalangan parti politik, terutama gabungan PH.


Ini kerana bekas Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR sebelum beliau menghantar surat mengundur diri daripada parti itu.


Ketika mengulas pelantikan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat oleh beliau sendiri tanpa merujuk atau memberitahu Kabinet serta kepemimpinan PH.


Sambil menegaskan bahawa pelantikan Latheefa itu adalah muktamad, Perdana Menteri berkata:


“Tak ada masalah, saya lantik banyak orang, banyak pegawai saya terpaksa lantik, ini (pelantikan Latheefa) satu daripada pegawai, itu saja… (keputusan melantik Latheefa) kalau dah putus, muktamadlah, takkan nak kalih balik, nanti kata saya u-turn.”


Terdahulu, Malaysia Baharu dalam petisyen itu berkata, perlantikan Latheefa Koya adalah bertentangan dengan prinsip Pakatan Harapan (PH) yang mahukan tiada sebarang lantikan politik bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.


Kata petisyen itu, prinsip PH untuk memastikan SPRM sebagai sebuah badan bebas daripada lantikan politik telah dicemari.


Petisyen itu mengetengahkan tiga sebab pelantikan Latheefa wajib dibantah iaitu:



  1. Proses pemilihan, yang sepatutnya ditentukan oleh Parlimen melalui Jawatankuasa Khas dan bukan lagi lantikan oleh PMO;

  2. Personal yang dipilih, harus dari kalangan penjawat awam, selari dengan apa yang telah termaktub dalam akta SPRM itu sendiri; dan

  3. Janji pilihan raya (jika berjaya membentuk kerajaan) untuk memastikan lantikan jawatan agensi integriti seperti SPRM wajib bebas dari kalangan ahli politik.


“Di atas nama Malaysia Baru, tiada satu pun perkara di atas yang mengizinkan perlantikan Latheefa Koya sebagai Pengerusi SPRM,” kata petisyen itu.


Sehingga jam 1.30 tengah hari ini, lebih 5,600 individu sudah menandatangani petisyen daripada sasaran sebanyak 7,500. Petisyen itu dimulakan dua hari lalu.


Pada masa sama satu lagi petisyen di dalam change.org yang dimulakan Alvin Chong bagi menyokong Latheefa Koya, ditandatangani 11,262 individu. Petisyen itu menyasarkan 15,000 tandatangan.


Penolakan dan sokongan pemimpin PKR terhadap pelantikan Latheefa Koya yang pernah menjadi ahli parti itu, menunjukkan berlaku perpecahan di kalangan anggota parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ini kerana pelantikan Latheefa Koya yang dikatakan ‘orang’ Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, boleh menjejaskan kedudukan Anwar yang menunggu jawatan Perdana Menteri diserahkan kepadanya.


Beberapa penganalisis politik turut melihat pelantikan Latheefa Koya bagi tempoh dua tahun, dan Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara, membuatkan orang Anwar semakin gelisah.


Latheefa Beebi Koya


The post ‘Orang Anwar’ gelisah, desak Latheefa Koya letak jawatan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop