Expired : 18.06.18

Orang Asli mengadu ‘gemuk’ lepas suntik, makan pil perancang

Jakoa sedang menyiasat perkara itu termasuk dakwaan lain mengenai penduduk Orang Asli diberikan pil dan suntikan. — Foto Bernama
Jakoa sedang menyiasat perkara itu termasuk dakwaan lain mengenai penduduk Orang Asli diberikan pil dan suntikan. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Program mengawal kehamilan Kementerian Kesihatan didakwa memberi kesan kepada penduduk kampung Orang Asli suku Temiar.

Aktivis akar umbi etnik itu mendakwa wanita di Kampung Lambok, Gua Musang berdepan “ancaman” jururawat jika enggan mengikuti program itu, lapor Malaysiakini.


Nora Kantin mendakwa kad perubatan wanita suku Temiar bakal dirampas jika enggan mengikuti program perancang keluarga melalui makan pil ataupun suntikan.


“Suntikan itu memberikan kesan buruk kepada kesihatan kami. Ramai perempuan naik berat badan, daripada kurus menjadi gemuk dengan cepat,” katanya.


“Kami semua merasa lemah selepas menerima suntikan itu,” katanya, mendakwa juga “ditekan” mengambil suntikan itu selepas kelahiran anak keempat pada 2014.


Suntikan mengandungi hormon progestin berfungsi mengawal dan menghalang kehamilan yang tidak dirancang selama tiga bulan pada satu-satu masa. 


Pemimpin Jaringan Orang Asli Semenanjung juga sedih mendengar amalan itu berleluasa, turut membabitkan masyarakat Orang Asli di lima kampung di Gerik.


Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang menyiasat perkara itu termasuk dakwaan lain mengenai penduduk Orang Asli diberikan pil dan suntikan tersebut.


Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad juga bakal mengulas perkara itu esok dalam satu program bersama Orang Asli di Sungkai, Perak.


Norlida Ishak Shop