Expired : 18.06.18

Orang Cina pun terima sistem raja, kata Prof Dr Teo Kok Seong


Oleh Siti Fatimah Ishak


BANGI, 28 Syawal 1439H, Khamis – Kaum Cina tidak ada masalah dengan sistem beraja yang diamalkan sejak ratusan tahun dahulu di negara ini, kata Prof Dr Teo Kok Seong.


Namun, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu terkejut apabila ada orang Melayu sendiri yang mempertikai dan menggesa supaya sistem beraja dihapuskan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan seorang peguam yang juga aktivis BERSIH, Fadiah Nadwa Fikri, yang baru-baru ini mempersoal kewujudan sistem beraja di Malaysia yang pada pendapatnya sudah ketinggalan zaman.


Fadiah juga mendakwa, sistem pemerintahan di bawah seorang raja atau sistem monarki perlu sudah tidak relevan dan perlu dihapuskan.


“Selama ini orang Cina tidak ada masalah dengan sistem beraja. Saya sendiri sebagai orang Cina terkejut bila peguam berbangsa Melayu boleh pertikai raja-raja Melayu. Apa yang terjadi sampai mereka sanggup nak menyingkirkan jati diri mereka.


“Orang Cina melihat raja sebagai tempat keadilan, perpaduan, lambang keadilan, tempat berlindung. Setakat ini dalam negara kita, belum ada orang bukan Melayu mempertikai relevan raja. Kalau ada orang Cina persoal, mesti akan cetus suasana tidak baik.


“Selama ini orang Melayu yang pertikai raja Melayu. Bagi orang Cina buat masa ini dan akan datang saya yakin mereka tidak akan pertikai. Sistem beraja tidak akan menjadi masalah kepada orang Cina,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.


Mengulas lanjut, Kok Seong yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara berkata, selagi ada bangsa Melayu, selagi itulah perlunya ada sistem monarki yang mana ia masih relevan sepanjang zaman.


Beliau menasihatkan supaya generasi Melayu bijak membuat pertimbangan supaya tidak mengikut jejak Fadiah.


“Jangan jadi macam peguam Fadiah. Dia dah hilang jati diri Melayu. Dia terlalu berfikiran terbuka sampai persoal apa yang patut dipertahan bangsa sendiri.


“Sebab itu pentingnya generasi Melayu yang faham sejarah. Mereka perlu didedahkan dengan sejarah bangsa Melayu yang gemilang. Sekiranya mereka tidak ambil tahu dan faham sejarah, akan wujudlah pertikaian seperti ini,” katanya.


Kok Seong berkata, sistem beraja ini masih relevan dan perlu dipertahan kerana ianya sudah lama wujud mencecah ratusan tahun.


“Terlalu lama. Kalau nak kata 600 tahun pun boleh, mungkin ia bermula dengan Kesultanan Melaka. Tetapi ada yang kata lebih lama, ketika zaman sejarah Kedah Tua. Kalau Kedah tua diambil kira, sistem beraja ini berusia hampir 1,000 tahun.


“Sejarah raja Melayu wujud bersama bangsa Melayu. Amat merugikan bangsa Melayu kalau sistem beraja ini dihapuskan. Kalau ada yang perlu diperbaiki, adakan perbincangan dengan rakyat supaya raja ada peranan yang signifikan,” katanya.


The post Orang Cina pun terima sistem raja, kata Prof Dr Teo Kok Seong appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop