Expired : 18.06.18

Ox wira Liverpool sekali lagi

LIVERPOOL menghampiri peringkat kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi tadi selepas gol Alex Oxlade-Chamberlain membantu mereka menang 2-1 ke atas Genk sekali gus menghuni tangga teratas Kumpulan E.


Oxlade-Chamberlain meledak gol kemenangan selepas satu gerakan badan dan penyudah mengagumkan tujuh minit selepas rehat untuk membolehkan juara Eropah itu mendahului selepas tandukan kencang penyerang Genk, Mbwana Samatta memadamkan gol pembukaan Georginio Wijnaldum.


Bagaimanapun ia tidak seperti kemenangan selesa 4-1 di Belgium sebelum ini susulan penyudah tumpul yang membolehkan pasukan tercorot Genk, yang sudah tersingkir, kembali dalam permainan dan hampir menyamakan kedudukan pada lewat aksi.


“Kami tidak bagus dari segi penyudah seperti selalu. Kami mempunyai banyak peluang yang biasanya digunakan sebaiknya tapi kami tidak melakukannya kali ini. Ia menyebabkan permainan lebih terbuka,” kata jurulatih Juergen Klopp kepada BT Sport.


SAMATTA (tengah) menanduk masuk gol penyamaan Genk pada babak pertama. — FOTO EPA



“Jika anda menjaringkan satu gol dan kemudian mereka menyumbat satu gol, maka ia memerlukan usaha lebih keras. Permainan lebih segar pada babak kedua... tapi perancangan kami untuk menang perlawanan ini berjaya, jadi tugas selesai.”


Kemenangan itu membantu anak buah Klopp melonjak satu mata di depan Napoli, yang hanya mampu seri 1-1 dengan pasukan tangga ketiga Salzburg, menjelang pertembungan antara dua pasukan itu di Anfield hujung bulan ini.


Liverpool juga lima mata di depan kelab Austria itu dan akan layak dengan berbaki satu perlawanan jika mereka mengatasi Napoli kendalian Carlo Ancelotti.


Norlida Ishak Shop