Expired : 18.06.18

PAC tak tolak kemungkinan panggil bekas Perdana Menteri


KUALA LUMPUR, 26 Rabiulawal 1440H, Selasa – Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa antara individu bakal dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memberi keterangan berhubung siasatan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Selain beliau, Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, mereka yang akan turut dipanggil ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.


Ronald juga tidak menolak kemungkinan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga akan turut dipanggil memberi keterangan.


“Mereka dijangka dipanggil tahun depan dan kita harap siasatan membabitkan dakwaan pindaan laporan audit 1MDB dapat disiapkan sebelum sesi Dewan Rakyat akan datang.


“Ada beberapa nama lagi dikenal pasti untuk dipanggil, selain (bekas Ketua Audit Negara), Tan Sri Ambrin Buang, akan dipanggil semula bersama lima atau enam orang kumpulan audit yang mengaudit laporan 1MDB itu pada 2014,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan prosiding berkaitan pindaan laporan audit 1MDB membabitkan Ambrin di bangunan Parlimen, hari ini.


Terdahulu, Ambrin hadir pada jam 11 pagi dan selesai menghadiri prosiding kira-kira jam 4 petang.


Dalam pada itu, Ronald berkata, Ambrin turut berkemungkinan akan dipanggil semula untuk memberikan keterangan ekoran beberapa pertanyaan yang timbul selepas pendedahan maklumat baharu olehnya.


Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan, Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.


Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.


The post PAC tak tolak kemungkinan panggil bekas Perdana Menteri appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop