Expired : 18.06.18

PAFA cadang letak lambang berhenti merokok di jersi


IPOH, 29 Rabiulakhir 1440H, Ahad — Sebagai usaha menyokong dan melaksanakan kempen larangan merokok, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bercadang untuk meletakkan lambang berhenti merokok di jersi pemain skuad The Bos Gaurus bagi musim 2019.


Presidennya, yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia akan diumumkan pada majlis memperkenalkan barisan pemain pasukan itu, dalam waktu terdekat.


“Saya sedang berusaha meletakkan lambang berhenti merokok di jersi pasukan negeri yang juga akan bertanding ke peringkat Asia.


“Kempen merokok ini kita lakukan untuk semua manusia sejagat bukan rakyat negeri Perak sahaja kerana ia perkara yang penting serta baik untuk kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Sihat Bersama Parlimen Tambun di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa di Kanthan Baru di sini hari ini.


Ahmad Faizal berkata, ia juga antara usaha Kerajaan Negeri yang akan melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Perak agar mesej berhenti merokok ini diperluaskan.


“Ini mesej kita nak bawa, kita akan lancarkan nanti pada majlis perkenal pemain yang akan didatangi sebilangan besar anak muda.


“Ini target kita untuk berkempen besar-besaran menggalakkan mereka supaya berhenti merokok dan memujuk rakan-rakan mereka untuk berhenti merokok,” katanya.


Beliau berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini akan berusaha mengadakan kempen larangan dan berhenti merokok sepanjang tahun ini.


“Saya sendiri seorang perokok tegar untuk berpuluh tahun. Saya berjaya berhenti atas dorongan keluarga dan saya harap semua boleh lakukannya.


“Saya berasa lebih sihat, cergas serta berfikir lebih baik. saya nak ajak semua rakyat Perak untuk berhenti merokok,” katanya.


Terdahulu, pada program itu, beliau bersama pelajar sekolah dan penduduk berjalan sebanyak 1,000 langkah di sekitar Kampung Kanthan Baru.- Bernama


The post PAFA cadang letak lambang berhenti merokok di jersi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop