Expired : 18.06.18

Pahang pertama ke suku akhir

SKUAD Pahang muncul pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Darul Makmur, malam ini.


Kemenangan kali keempat berturut-turut skuad kendalian Dollah Salleh itu menyaksikan Pahang mengutip 12 mata berdasarkan aksi konsisten yang dipersembahkan dalam Kumpulan C.


Namun, tuan rumah terpaksa menunggu aksi babak kedua untuk membolosi gawang lawan sekaligus mengutip tiga mata.


Pada perlawanan itu, skuad Pahang memulakan persembahan menyakinkan apabila melancarkan serangan demi serangan ke atas lawan.


Peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi tendangan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria tetapi bola sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Sabah.


Selepas itu, kedua-dua pasukan berusaha untuk menjaringkan gol pendahuluan tetapi akur terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.


Sebaik bersambung babak kedua, gol yang dicari-cari tuan rumah akhirnya menjelma juga hasil sentuhan penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme pada minit ke-57.


Biarpun Sabah berusaha untuk mencari gol penyamaan, pertahanan kental memastikan Pahang mencatat kemenangan keempat berturut-turut dan layak ke suku akhir.


Norlida Ishak Shop