Expired : 18.06.18

Pakatan Harapan sah sebagai sebuah gabungan parti politik: Muhyiddin




PETALING JAYA, 1 Ramadan 1439H, Khamis – Pakatan Harapan (PH) telah diluluskan sebagai sebuah parti  gabungan empat parti yang sah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, yang dinamakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Dalam Negeri berkata, permohonan PH sebagai parti gabungan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), semalam.


PH adalah gabungan parti politik iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PPBM.


“Pada malam ini saya ingin umumkan sebagai Menteri Dalam Negeri, suatu keputusan yang telah lama kita tunggu-tunggu, walaupun tanpa penglibatan saya kerana saya belum mengangkat sumpah, tetapi tindakan dilakukan melalui peringkat Ketua Setiausaha kementerian yang telah memaklumkan bahawa pendaftaran Pakatan Harapan telah diluluskan hari ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada  Himpunan Merdeka Rakyat bagi meraikan pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. di Padang Timur, di sini, malam tadi.


Turut hadir isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.


Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, PH telah bertanding di bawah lambang PKR dengan menggabungkan calon-calon daripada PKR, PPBM, Amanah dan DAP.


Sebelum ini dilaporkan PH tidak dapat didaftarkan kerana PPBM didakwa gagal menyerahkan dokumen yang diperlukan RoS dalam masa yang ditetapkan.


Selain itu, Muhyiddin berkata, PPBM juga telah kembali menjadi sebagai satu parti yang sah selepas pendaftarannya turut diluluskan RoS hari ini. –  Bernama









The post Pakatan Harapan sah sebagai sebuah gabungan parti politik: Muhyiddin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop