Expired : 18.06.18

Pakistan larang Presiden India guna ruang udara


ISLAMABAD, 8 Muharram 1441H, Ahad – Pakistan tidak membenarkan pesawat yang membawa Presiden India, Ram Nath Kovind melalui ruang udara negaranya, berikutan ketegangan meruncing antara dua negara nuklear itu terhadap krisis di wilayah Kashmir.


Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi dalam satu kenyataan semalam berkata, keputusan itu diambil berdasarkan tindak-tanduk India.


“Presiden India telah meminta izin bagi menggunakan ruang udara Pakistan untuk ke Iceland, tetapi kami memutuskan untuk tidak membenarkannya,” kata diplomat tertinggi Pakistan itu tanpa mengulas lebih lanjut.


Kovind dijangka memulakan lawatan ke Iceland, Switzerland dan Slovenia bermula Isnin ini.


Bulan lalu, seorang pegawai kanan kerajaan Pakistan berkata, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mempertimbangkan penutupan ruang negaranya kepada India dan menyekat laluan perdagangan darat di timur ke Afghanistan.


Khan memberi amaran dalam ucapan baru-baru ini bahawa isu Kashmir boleh membawa kepada perang nuklear antara Islamabad dan New Delhi jika komuniti antarabangsa gagal campur tangan.


Pada 5 Ogos lalu, Kerajaan India memansuhkan Perkara 370 Perlembagaan yang memberikan autonomi kepada Jammu dan Kashmir. New Delhi mendakwa keputusan itu diperlukan untuk pembangunan ekonomi Kashmir dan membantu memerangi “keganasan.”


Susulan langkah itu, Pakistan mengusir duta India, menghentikan perdagangan dua hala dan menggantung perkhidmatan pengangkutan merentas sempadan. – Agensi


The post Pakistan larang Presiden India guna ruang udara appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop