Expired : 18.06.18

Pandang Pertama: OnePlus 6T – Sebuah OnePlus 6 Dengan Tambahan Teknologi Baru


OnePlus 6T baru sahaja dilancarkan semalam. Ia secara asasnya adalah OnePlus 6 dengan sedikit tambahan teknologi baru. Seperti biasa, model ‘T‘ untuk OnePlus adalah model peranti mercu kedua untuk tahun 2018. Jadi, cip pemproses masih lagi sama iaitu Snapdragon 845. Tapi apakah teknologi baru itu? OnePlus memperkenalkan ‘Screen Unlock‘. Iaitu sistem pengimbas cap jari dalam skrin.


Adakah OnePlus 6T ini menarik? Syukur, kami di Amanz dapat mencuba OnePlus 6T lebih awal dari yang dijangkakan. Jadi dalam artikel ini adalah pandang pertama mengenai peranti mercu ‘T’ OnePlus.



Spesifikasi


OnePlus 6T hadir dengan skrin yang lebih besar dan kini menggunakan rekaan takuk kecil seperti Oppo dan Vivo. Panel skrin OnePlus 6T adalah 6.41-inci, FHD+, sokongan DCI-P3 dan juga kini mempunyai saiz bingkai, dahi dan dagu yang lebih nipis.


Tetapi, jika dahi dan takuknya semakin kecil – di manakah lokasi earpiece OnePlus 6T? Ia terletak di bahagian atas bingkai peranti seperti Essential Phone PH-1. OnePlus mampu mengecilkan takuknya kerana tiada penambahan sensor-sensor yang unik.


OnePlus 6T dijana dengan Snapdragon 845 yang dipadankan dengan pilihan memori 6GB atau 8GB RAM dan storan 128GB atau 256GB. Tiada lagi pilihan storan 64GB seperti terdahulu. Untuk kamera pula, tiada beza langsung dari segi perkakasan antara OnePlus 6T dan OnePlus 6. Kamera utama masih lagi dwi-lensa 16+20 megapixel dan kamera swafotonya juga sama – 16 megapixel.


Berita gembira buat peminat OnePlus, OnePlus 6T kini mempunyai bateri yang agak besar iaitu 3700mAh. Untuk pengecasan pula, masih lagi sama dengan sistem pengecasan pantas Dash yang menawarkan kelajuan sekitar 20W dengan pengecas 5V4A mereka.



Rekabentuk


Ya benar, secara keseluruhan – rekaan OnePlus 6 dan OnePlus 6T tiada beza. Dibelakang hanya tiada pengimbas cap jari. Manakala, di bahagian depan – takuk kecil, bingkai kecil dan skrin yang lebih besar. ‘Ciri’ yang paling ‘menarik’ sehingga ramai peminat OnePlus kecam adalah – OnePlus 6T tidak mempunyai port bicu audio 3.5mm.


Disebelah sisi kanan masih lagi kekal dengan butang kuasa dan gelungsur notifikasi. Di sisi kiri adalah port kad sim dan butang aras suara. Di bahagian atas hanya terdapat mikrofon dan akhir sekali di bahagian bawah adalah port USB-C dan kekisi pembesar suara mono.



Untuk kemasan panel belakang, OnePlus meneruskan lagi penggunaan kaca dengan pilihan warna Midnight Black iaitu hitam pusam dan Mirror Black yang hitam berkilat. Jika anda perasan, ya! Di belakang OnePlus 6T tiada pengimbas cap jari. Kenapa? OnePlus kini hadir dengan pengimbas cap jari dalam skrin yang dinamakan ‘Screen Unlock’. Animasi ‘Screen Unlock’ ini boleh dipilih dan prestasinya turut boleh dikatakan adalah pantas berbanding Oppo dan Vivo.



Sayang sekali, OnePlus tidak menggalakkan menggunakan pelindung skrin pihak ketiga – bagi mengelak masalah berlaku.


Antaramuka


Pasti ada yang tertanya, sebelum ini OnePlus telah mengatakan rekaan antaramuka OxygenOS pada OnePlus 6T akan membawakan rekaan serba baru. Apakah yang baru?



Tidak banyak pun yang baru, tetapi rekaannya nampak lebih kemas dan sedikit mengikut rekaan Android asli Android 9.0 Pie. Lain-lain adalah sama lagi dengan OxygenOS Android Pie yang hadir pada OnePlus 6. Berikut adalah ciri menarik dalam OnePlus 6T;


Nightscape – Mod mengambil gambar waktu malam seakan Huawei P20 Pro.


Quick Launch – Akses pintas menggunakan pengimbas cap jari terbina dalam skrin.


Smart Boost – Fungsi meningkatkan prestasi seakan Huawei GPU Turbo.


Sorok Takuk – Menyembunyikan takuk yang kecil.


Studio Lighting – Mimik kesan cahaya studio apabila ambil gambar mod potret, tetapi masih belum hadir dalam Oxygen OS 9.0.4 pada unit ulasan ini.



Kamera


Disebabkan Huawei telah lama memegang takhta dalam DXOMark kerana kameranya. OnePlus turut ingin cuba apa yang P20 Pro tawarkan, iaitu mod mengambil gambar waktu malam. Pada OnePlus 6T, OnePlus memperkenalkan mod mengambil gambar waktu malam mereka tersendiri melalui ‘Nightscape‘. Turut hadir bersama-sama dengan mod ini adalah ‘Studio Lighting‘ yang seakan iPhone X.



OnePlus dilihat seakan mencuba mengikuti jejak langkah Google dengan menawarkan hasil kamera yang baik hanya daripada segi perisian. Baik dari segi pemproessan imej, kecerdasan buatan atau penuras-penuras yang unik. Kami hanya mampu mencuba OnePlus 6T sekejap sahaja, jadi berikut adalah sampel gambar yang berjaya kami ambil.


Akan datang akan kami ulaskan lagi kemampuan kamera OnePlus 6T ini.



Kesimpulan


Walaupun anda lihat OnePlus 6T dan OnePlus 6 tiada beza yang ketara, tetapi penambahan teknologi baharu seperti ‘Screen Unlock’, bateri besar adalah satu perkara yang menarik. Tidak lupa juga, saiz takuk yang kecil memberi ruang untuk skrin yang lebih besar serta rekaan bingkai yang lebih nipis. Akan datang mungkin takuk ini boleh terus lesap.


Siri ‘T’ dalam OnePlus digunakan kerana terdapat syarikat lain telah menggunakan ‘S’. Sama seperti pesaing, siri ‘T’ hanya membawa kemaskini sedikit. Terdapat perkara yang dinaik taraf dan juga terdapat perkara yang terpaksa dikorbankan. Jika ramai yang berminat dengan OnePlus 6T ini, sejak 30 Oktober – peranti ini sudah pun boleh dipra-tempah pada harga bermula RM2588.



Jadi, bagaimana para peminat OnePlus yang mengikuti Amanz – adalah OnePlus 6T ini menarik dan adakah anda akan memilikinya? Teruskan mengikuti kami, akan datang ulasan penuh akan kami terbitkan buat OnePlus 6.


Norlida Ishak Shop