Expired : 18.06.18

Pandang Pertama: OPPO F11 – Hadir Dengan Kamera 48MP, Helio P70, Berharga RM1099














































OPPO F11
Skrin 6.53”, LTPS LCD
FHD+, 19.5:9
Chipset MediaTek Helio P70
CPU 4 x Cortex-A73 2.1 GHz

4 x Cortex-A53 2.0 GHz
GPU Mali-G72 MP3
Memori 4GB RAM
Storan 128GB + mikroUSB
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n/ac

Bluetooth 4.2

A-GPS, GLONASS

mikroUSB
Sistem Android 9.0 Pie
Bateri 4000 mAh
Pengecasan 20W

OPPO pada sebelum ini telah melancarkan F11 Pro iaitu sebuah model berkuasa di bawah siri OPPO F. Ia menampilkan rekaan skrin sepenuhnya tanpa lagi menyertakan takuk di bahagian atas. Untuk menjayakannya, OPPO telah meletakkan bahagian kamera yang boleh dikeluarkan, seumpama yang dilihat pada peranti Vivo V15 Pro. Apa yang menarik, peranti ini ditawarkan pada harga RM1399 walaupun ia hadir dengan rekaan skrin sepenuhnya.


Bagi membolehkan lebih ramai mendapatkan peranti daripada siri ini, OPPO turut hadir dengan OPPO F11 dengan penawaran lebih mampu milik. Sudah pasti ia mempunyai sejumlah fungsi yang dikeluarkan pada peranti ini untuk mengurangkan harga jualannya. Namun beberapa perkara seperti spesifikasinya masih dilihat serupa, dalam menyelarikan pengalaman antara kedua-dua model ini.


OPPO F11 juga berdiri sebagai peranti penambahbaikan bagi model OPPO F9 pada sebelum ini. OPPO mengatakan ia akan memfokuskan kepada keupayaan kamera utama yang lebih baik, cip yang lebih pantas, dan ketahanan bateri yang lebih lama. Ia juga masih mengekalkan fungsi pengecasan pantas berasaskan VOOC, dalam membolehkan peranti dicas dalam masa singkat.



OPPO F11 dilihat hadir dengan rekaan seumpama F11 Pro, namun terdapat perbezaan dari segi rekaan hadapan dan belakang. OPPO F11 tidak lagi menawarkan bahagian kamera yang boleh dikeluarkan, tetapi sebaliknya, ia membawa kembali rekaan takuk seumpama titisan air. Rekaan takuk ini mirip seperti OPPO F9, dalam memberi laluan kepada perletakkan kamera hadapan dan saluran pendengaran. Melalui rekaan seperti ini, pengguna tidak perlu risau dengan bahagian mekanikal bergerak, ketika ingin mengunakan fungsi imbasan wajah dan kamera hadapan.


Rekaan belakangnya pula terdapat perbezaan dari segi susunan kamera, lampu LED flash, dan pengimbas cap jari. Susunan kesemua perkakasan ini dilihat sangat generik pada OPPO F11, tanpa sebarang elemen rekaan yang unik pada bahagian kamera. Perkara ini berbeza dengan OPPO F11 Pro kerana binaan belakangnya lebih menampilkan nilai elegan dan identiti tersendiri. Kedudukan pengimbas cap jari pada F11 dilihat lebih ke atas, namun masih mudah dicapai untuk mengimbas cap jari.



Binaan belakang OPPO F11 dilihat lebih ringkas kerana ia tidak menampilkan kemasan warna cerun (gradient) yang ketara seperti F11 Pro. Setakat ini, OPPO hanya mengumumkan satu warna sahaja untuk F11 ini menerusi warna Flourite Purple, namun bakal menawarkan pilihan warna hijau di dalam sebuah edisi warna khas. Binaan belakang ini walaupun dilihat seperti kaca, ia sebenarnya masih diperbuat daripada bahan polikarbonat seperti F11 Pro. Binaan sisinya hadir dengan binaan berasaskan logam dalam memberi cenggaman yang selesa ketika ia dipegang.


Pada bahagian sisi kanan peranti, ia menempatkan butang kuasa yang mana turut digarapkan dengan kemasan berwarna hijau. Pada bahagian kiri, ia membawakan slot dwi-sim berasaskan hibrid dan butang pembesar suara di bahagian bawahnya. Namun pada bahagian bawah peranti, ia masih menempatkan sambungan mikroUSB, yang mana seharusnya sudah digantikan dengan sambungan USB-C. Bersebelahan dengan sambungan ini, ia hadir dengan sambungan bicu audio dan pembesar suara berasaskan mono.


Dari segi keupayaan skrin, ia membawakan paparan sebesar 6.53-inci dengan janaan resolusi Full HD+. Panel paparan ini dijana dengan teknologi LTPS LCD, jadi ia dapat memberi paparan yang lebih terang berbanding IPS LCD biasa. Dengan resolusi Full HD+, ia membawa paparan yang terang dan tajam melalui ketumpatan skrin 394 ppi. Ia dapat memberi paparan yang jelas walaupun anda melihat skrin peranti ini dari sudut berlainan.



Dari segi variasi, OPPO mengatakan F11 hanya hadir dengan satu variasi sahaja iaitu 4GB RAM + 128GB. Penggunaan RAM ini sebenarnya sedikit rendah berbanding F9 kerana peranti tersebut hadir dengan memori 6GB RAM. Saiz storannya masih sama seperti F9, dengan membolehkan pengguna meletakkan kad mikroSD pada ruang slot sim kedua.


OPPO F11 dilihat telah menjalankan antaramuka Color OS 6 yang dibina berasaskan Android 9.0 Pie. Antaramukanya kelihatan lebih kemas berbanding sebelumnya, dengan penyertaan elemen yang lebih ringkas dan moden. Sejumlah ikonografi telah diberi penambahbahbaikan dari segi warna dan binaannya, yang mana kini kelihatan lebih sesuai untuk kegunaan masa kini. Antara perubahan yang paling drastik adalah pada talam notifikasi, yang kini hadir dengan butang kawalan yang lebih besar.



Antaramuka ini dikatakan telah hadir dengan penambahbaikan dari segi prestasi, melalui 20 penambahbaikan di belakang tabir. Membuka sesebuah aplikasi kini terasa lebih lancar, selain membolehkan anda membuat pertukaran aplikasi dengan lebih responsif. Ia juga dapat menjimatkan lagi penggunaan bateri, dengan penjagaan memori yang lebih proaktif berbanding Color OS sebelum ini.



OPPO F11 telah dijana dengan cip pemprosesan yang serupa seperti F11 Pro menerusi penggunaan cip MediaTek Helio P70. Dengan penggunaan cip ini, ia memberi peningkatan prestasi sebanyak 13% berbanding cip Helio P60 pada OPPO F7 dan F9. Helio P70 membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Cortex-A73 2.0 GHz untuk teras berkuasa dan 4 x Cortex-A53 2.0 GHz untuk teras efisien. Ia juga dijana dengan GPU Mali-G72 MP3 dalam membolehkannya menggalas sejumlah tugasan harian.


Apabila dibandingkan dengan cip lain, Helio P70 mempunyai prestasi seumpama Kirin 710 dan Snapdragon 660. Helio P70 juga telah dibina berasaskan 12nm, sekaligus memberi penjimatan tenaga yang lebih baik untuk bateri. Penawaran memorinya juga dilihat memadai untuk kegunaan pengguna, dengan konfigurasi 4GB RAM untuk menggalas tugasan harian dengan pantas.



Dari segi kamera, OPPO F11 membawakan penawaran kamera yang serupa seperti OPPO F11 Pro, melalui padanan sensor utama 48MP (f/1.8, 1/2″, 0.8µm) dan sensor kedua 5MP f/2.4 untuk kegunaan Portrait Mode. Ia tidak didatangkan dengan sistem penstabilan optikal (OIS), namun masih menawarkan sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan rakaman video. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.


Bercakap mengenai sensor 48MP, ia sebenarnya telah ditetapkan kepada resolusi 12MP secara tersedia bagi membolehkan ia menjayakan teknik pixel binning. Teknik ini akan menggabungkan data daripada beberapa lapisan gambar, bagi membolehkan hasilan gambar ditingkatkan dari segi keperincian, perwarnaan, dan pencahayaan. Apabila anda menetapkan resolusi kepada 48MP, anda tidak dapat menikmati keupayaan zoom digital sebanyak 2x, HDR, atau fungsi pengoptimasian berasaskan AI.




Dari segi keupayaan kamera hadapan, ia telah diturun-taraf kepada kamera 16MP, berbanding 25MP f/1.8 pada OPPO F9. Ia menyajikan beberapa fungsi menarik seperti kebolehan Portrait Mode untuk membolehkan anda mendapat kesan kabur di bahagian belakang wajah. Anda juga boleh bermain dengan fungsi Beautification yang disertakan, dalam membenarkan anda mengubah rupa paras anda sebelum gambar swafoto diambil.



Dari segi bateri, ia telah menerima penambahbaikan kapasiti, melalui kehadiran bateri 4000 mAh berbanding 3500 mAh pada OPPO F9. Dengan penggunaan 10nm menerusi cip MediaTek Helio P70 ini, ia dijangka dapat memberi penggunaan sepanjang hari dengan nyalaan skrin melebihi 7 jam. Ia juga masih mengekalkan fungsi pengecasan VOOC dalam membolehkan masa pengecasan peranti disingkatkan walaupun hadir dengan kapasiti bateri yang besar.



OPPO F11 dilihat hadir dengan sejumlah penawaran yang menarik untuk harga RM1099. Ia menyajikan skrin sebesar 6.53-inci, cip Helio P70 yang pantas, bersama kapasiti bateri 4000 mAh yang cukup. Apa yang menarik, ia membawa keupayaan penggambaran yang baik, melalui tampilan dwi-kamera 48MP + 5MP yang kini dapat memberi penggambaran yang lebih terang dan tajam. Seperti model OPPO F9, ia turut menyajikan fungsi pengecasan pantas VOOC 3.0 untuk menyingkatkan lagi masa pengecasan peranti.


Buat masa terhad, peranti akan ditawarkan pada harga hanya RM999 melalui jualan khas yang diadakan di Shopee. Anda boleh mendapatkan OPPO F11 melalui harga ini apabila anda membelinya pada 19 April bermula 12 tengah malam. Harga ini dilihat cukup bernilai kerana ia menyajikan keupayaan kamera yang hebat dan cip kelas pertengahan yang lebih terkini. Bukan itu sahaja, anda juga mendapat sebuah peranti yang berpontesi untuk memberi penggunaan peranti yang seimbang.


Norlida Ishak Shop